Buletin

347 KES KEMALANGAN MELIBATKAN PENGHANTAR MAKANAN E-HAILING

Sebanyak 347 kes kemalangan direkodkan polis membabitkan pekerja penghantar makanan e-hailing dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, jumlah direkodkan itu membabitkan angka dikumpulkan dari Januari tahun lalu hingga Julai tahun ini di seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 48 kes membabitkan kemalangan maut manakala yang lain membabitkan kecederaan ringan dan parah.

“Bagi tahun lalu sahaja, pemandu dan penunggang e-hailing merekodkan 17 kematian, parah (10) dan cedera ringan (64). Namun kes kemalangan jalan raya membabitkan golongan itu dilihat meningkat pada tahun ini.

“Jika dilihat dari Januari hingga Julai lalu sahaja, sebanyak 31 kes kematian direkodkan membabitkan penunggang e-hailing manakala 26 mangsa cedera parah dan 199 cedera ringan,” katanya.

Dia berkata, mutakhir ini ramai penunggang motosikal terutama e-hailing didapati tidak mematuhi undang-undang dari segi pergerakan dan peraturan jalan raya.

“Antaranya mereka melanggar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai topi keledar, berhenti di petak kuning dan tiada lesen memandu dan cukai jalan.

“Selain itu kesalahan lain dikesan adalah membabitkan ubah suai kenderaan dan kesalahan berkaitan teknikal seperti nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi,” katanya.

Sehubungan itu, JSPT menasihatkan semua pemandu dan penunggang e-hailing supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi menjamin keselamatan di jalan raya demi kesejahteraan rakyat – HM

Google ads
Back to top button