Buletin

JANGAN DAFTAR DENGAN E-HAILING TANPA PERMIT. KERETA BOLEH KENA SITA

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengesan sebuah syarikat pengendali e-hailing tanpa permit yang beroperasi di negeri itu.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata pihaknya menerima aduan daripada persatuan pemandu e-hailing berdaftar terhadap kenderaan yang beroperasi sebagai e-hailing telah menggunakan aplikasi tersebut, tetapi tidak berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“JPJ telah menjalankan risikan dan operasi khas sejak semalam serta memberi tumpuan di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang, sebelum menahan 11 kenderaan yang beroperasi sebagai e-hailing dengan syarikat antarabangsa tersebut.

“Berdasarkan siasatan, syarikat itu beroperasi di lebih 30 negara sebagai (syarikat) pengendali e-hailing. Namun dipercayai masuk ke negara ini terutama Pulau Pinang sejak awal tahun.

 “Sehinga hari ini, syarikat itu masih belum berdaftar dengan APAD, selain tidak mempunyai Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP). Kami sedang mengesan syarikat pengendali e-hailing ini untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media.

Siasatan juga mendapati lebih 200 pemandu telah berdaftar dengan syarikat itu untuk menjadi pemandu e-hailing di Pulau Pinang. Mereka boleh membuat permohonan menerusi laman Facebook syarikat dengan mengemukakan lesen memandu, gambar pemandu, geran serta cukai jalan kenderaan untuk diproses.

Adenan berkata hasil siasatan turut mendapati syarikat terbabit membenarkan pemandu mendaftar dan mengambil penumpang walaupun tidak mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV). Ini jelas melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Justeru, JPJ memberi amaran kepada semua pemandu e-hailing serta penumpang untuk tidak menggunakan aplikasi itu kerana ia haram. Jika berlaku kemalangan semasa perjalanan, mereka dan penumpang tidak dilindungi insurans.

Semua 11 kereta itu disita dan pemandunya disiasat mengikut  Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 hingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama

Tags
Google ads
Back to top button