
FORD FAILKAN PATEN SISTEM PEMILIKAN SEMULA KERETA, ATASI MASALAH PEMILIK LAMBAT BAYAR
Kadang-kadang, orang ramai terlupa tentang pembayaran kereta atau terlepas tarikh pembayaran, bahkan lebih teruk lagi, ada yang sengaja membeli kenderaan tanpa niat membayar ansuran bulanan.
Dalam mengatasi masalah tersebut dari terus berlaku, Ford melangkah dengan penyelesaian baharu melalui sistem “Systems and Methods to Repossess a Vehicle” di mana paten itu telah difailkan pada tahun 2021.
Sistem tersebut berfungsi sebagai ‘kunci’ kenderaan sekiranya pemilik tidak membayar kereta mereka. Erti kata lain, pemilik tidak boleh mengakses atau membuka pintu sekalipun.

Selain itu, Ford juga merancang menjadikan pelaksanaan sistem autonomi di masa hadapan untuk menggerakkan kereta ke pengedar, atau dihantar kepada pihak bank. Ya, ia kedengaran tak masuk akal, tetapi dunia berubah dengan pantas.
Dari segi pelaksanaan, ia mungkin dikawal oleh agensi pembiayaan dan pemilik kenderaan akan dimaklumkan sekiranya lewat membuat pembayaran. Tetapi jika tiada maklum balas, sistem tersebut bakal diaktifkan, bermakna, pemilik kenderaan tidak boleh lagi menggunakan kereta tersebut.
Fungsi sistem itu tidak hanya terhenti disitu saja, Ford juga menyediakan beberapa senario alternatif, seperti mod kecemasan yang boleh membawa orang ke hospital atau bertemu dengan responden pertama jika syarat tertentu dipenuhi.
Namun, matlamat utama sistem itu pada ketika ini ialah bagi memastikan pemilik membuat pembayaran dan tidak melakukan apa-apa hal yang dramatik seperti cuba menyembunyikan kereta di belakang rumah, atau merosakkan trak tunda.
Selebihnya, kita hanya perlu menunggu sama ada sistem ini akan digunapakai atau sekadar dongeng modenisme.