Buletin

45 KAPAL MUSNAH TERBAKAR DI CILACAP

Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran yang memusnahkan 45 kapal di Pelabuhan Wijayapura, wilayah Cilacap, Jawa Tengah.

Memetik laporan CNN Indonesia, Ketua Polis Jawa Tengah, Inspektor Jeneral Ahmad Lutfhi berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, kebakaran itu berpunca daripada aktiviti salah seorang kru di kapal tersebut.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih perlu disiasat secara terperinci.

“Buat masa ini, kami mendapati api dimulakan oleh seorang kru di sebuah kapal.

“Kami akan menyiasat lagi agar lebih jelas,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahmad Lutfhi, hasil siasatan awal menunjukkan kebakaran berlaku di empat kawasan berbeza.

“Kebakaran berlaku di titik A, B, C dan D. Sebaik sahaja terbakar, sejumlah kapal bertaburan kerana air pasang surut,” katanya.

Jelasnya, beliau juga sudah mengarahkan Jabatan Forensik Polis Jawa Tengah untuk menyiasat kejadian kebakaran itu dengan segera.

Sementara itu, Ahmad Lutfhi turut mendedahkan kerugian akibat kebakaran yang memusnahkan puluhan kapal itu dianggarkan mencecah ratusan bilion rupiah. –UTUSAN

Google ads
Back to top button