
7 KERETA BIASA, TAPI GUNA NAMA PELUMBA TERKENAL UNTUK GIMIK PEMASARAN
Adalah menjadi kebiasaan syarikat kereta meletakkan nama pemandu lagenda pada beberapa model kereta mereka. Mungkin disebabkan status mereka adalah juara, ia menarik perhatian beberapa syarikat automotif gergasi dunia yang ingin menumpang populariti pelumba berkenaan melalui pakej penajaan
Dengan pakej ini pelumba mendapat tajaan kewangan yang membantu mereka membina karier perlumbaan dan sebagai timbal balas pelumba ini akan mempromosi jenama kereta penaja melalui iklan. Nampak macam adil dan saksama kan. Tapi tak juga kerana kadang kala syarikat automotif ini akan meletakkan nama pemandu popular ini pada produk kereta yang biasa-biasa sahaja bagi tujuan publisiti. Antaranya ialah
1. Chevrolet Celta Piquet – Nelson Piquet adalah juara dunia F1 3 kali pada tahun 1981, 1983 dan 1987 dan menarik perhatian Chevrolet untuk menaja beliau sebagai ikon. Malangnya Chevrolet memilih untuk meletakkan nama Piquet pada kereta kompak Chevrolet Celta yang dibangunkan khusus untuk penjimatan bahan api, dikuasakan dengan enjin 1000cc dan 70 kuasa kuda sahaja
Kereta ini dipasarkan oleh GM Brazil pada tahun 2003 dan diasaskan dengan platform GM Corsa. Pada tahun 2011 NCAP Latin meletakkan kereta ini sebagai kereta tidak selamat untuk dipandu kerana gagal dalam ujian kemalangan dan struktur yang lemah. Ia hanya dibezakan dengan penggunaan side skirt, spoiler, rim 13 inci dan warna kuning

2. Fiat Seicento Sporting Michael Schumacher -Fiat mengambil sebuah Fiat Seicinto yang berkuasa 54 kuasa kuda dan memasang kit badan Abarth pada kereta ini. Selain skirt di bahagian sisi dan tandatangan Michael Schumacher pada badan kereta, tak ada apa pun yang istimewanya pada kereta ini.

3. Vauxhall Viva Brabham – Jack Brabham merupakan pelumba tersohor dengan merangkul 3 juara dunia, memenangi Le Mans dan juga Indy dalam masa 16 tahun. Tapi Vauxhall meletakkan nama Brabham pada Vauxhall Viva Brabham dengan enjin 1200cc dengan 69 kuasa kuda melalui karburetor Stromberg. Nak dapat 150km/j pun sakit. Kereta ini dikeluarkan dalam versi terhad antara tahun 1967 ke 1968

4. Citroen C4 By Loeb – Sebastian Loeb memenangi 79 perlumbaan WRC dan mendapat 9 kali juara dunia WRC. Sebagai meraikan kemenangan Loeb, Citroen menghasilkan C4 By Loeb yang mendapat pelekat nombor siri 0-400, kemasan dalam berwarna merah dan pedal aluminium. Ha itu sahajalah yang membezakannya dari C4 yang lain
5. Mercedes Benz A160 Hakkinen Edition – Mika Hakkinen merupakan pencabar Schumacher paling kuat ketika itu dan menjadi juara dunia F1 pada tahun 1998 dan 1999. Disebabkan pasukan McLaren tiada kereta untuk dijual ketika itu, mereka mendapatkan bantuan pembekal enjin mereka iaitu Mercedes untuk menghasilkan kereta edisi khas Hakkinen

Jadi lahirlah Mercedes Benz A160 Hakkinen lengkap dengan livery merah hitam dan perak (pelekat) McLaren, nama Hakkinen, rim 17, kemasan dalam warna merah, sistem suspensi sport dan ekzos berkembar. Hanya 125 unit sahaja dikeluarkan

6. Fiat Stilo Schumacher Edition – dikeluarkan pada tahun 2005 bagi membantu menaikkan jualan model ini dalam 2 versi. Kompak 3 pintu bagi versi Eropah dan sedan 5 pintu bagi versi Brazil dengan enjin 2400cc 5 silinder yang menghasilkan 170 kuasa kuda. Ia juga dipasang dengan plaque nombor siri, pedal aluminium dan kusyen bucket mampu memecut 0-100km/j dalam masa 9 saat. Ok la.
7. Opel Calibra Keke Rosberg Edition – merupakan juara dunia pada tahun 1982 dalam F1, tapi model ini dihasilkan bagi meraikan kemenangan pasukan Opel Team Rosberg pada tahun 1995 yang menggunakan Opel Calibra. Tiada apa pun yang istimewa berbanding model biasa melainkan pelekat khas, plaque nombor siri dan sport rim berwarna putih

Ya inilah manipulasi dunia perniagaan dan pemasaran automotif yang malas buat kerja, ambil pelekat, tukar rim dan buat kerja kosmetik semata-mata. Kemudian letakkan nama pelumba dengan edisi khas. Tapi ada juga pengeluar lain yang serius seperti Infiniti FX Vettel Edition yang lebih berkuasa dan lebih laju.