Buletin

TEKNOLOGI SELFSEAL MICHELIN BANTU TAYAR TAK BOCOR BILA KENA PAKU ATAU SKRU

Tayar kenderaan yang pancit adalah satu ujian dan cabaran. Biasanya tayar bocor disebabkan objek tajam (paku, skru), lopak jalan dan faktor tayar itu sendiri.

Bagi menangani kebocoran tayar, banyak syarikat yang mengeluarkan bahan kedap (sealant) dengan membuat satu lapisan baharu atau melindunginya dari dalam.

Teknologi bahan kedap sudah lama di pasaran dan anda boleh mendapatkannya dengan mudah dan ini ini pula teknologi SelfSeal dari MICHELIN yang didatangkan bersekali dengan tayar.

Bagaimana teknologi SelfSeal berfungsi?

Secara asasnya teknologi SelfSeal berfungsi dengan menampal lubang sebaik sahaja kebocoran berlaku.

SelfSeal adalah bahan kedap yang diperbuat daripada getah asli dengan ketebalan beberapa milimeter pada bahagian dalam tayar.

Perlu diketahui, teknologi SelfSeal bukan cecair yang diisi kemudian tetapi bahan yang sedia terpasang pada tayar Michelin.

Apabila paku atau skru tembus ke dalam tayar dan bahan kedap, tekanan di dalam tayar terus menghalang dari ianya berlaku.

Proses itu menghentikan kebocoran udara atau angin dari tayar dan tekanan udara di dalamnya kekal.

Seperkara lagi, apabila paku atau skru itu tertanggal atau dicabut, bahan kedap akan bertindak dengan menutup kebocoran dan menampal tayar dari dalam.

Berapa panjang boleh tampung?

MICHELIN memaklumkan teknologi SelfSeal boleh menampal sekitar 90 peratus kebocoran bunga tayar dengan diameter sehingga 6 mm yang berpunca daripada paku dan skru.

Lebih menarik, tayar dengan teknologi SelfSeal tidak perlu diganti terus apabila bocor dan pemilik kenderaan boleh menggunakannya sehingga tamat kitaran tayar tersebut.

Ditambah pula dengan teknologi pengawasan tekanan tayar yang dilengkapi pada kereta hari ini dan teknologi RFID membolehkan pemilik kenderaan berasa lebih selamat.

Tayar bertambah berat

Lapisan bahan kedap yang digunakan sebenarnya menjadikan berat tayar sedikit bertambah.

Walaupun begitu, ianya ditimbang balas dengan pemilik kenderaan tidak perlu membawa tayar ganti atau kit pembaikan tayar.

Guna pada kereta elektrik

Satu daripada produk yang menggunakan teknologi SelfSeal ialah tayar MICHELIN e.Primacy dan direka khusus untuk kereta janaan elektrik.

Tayar ini mempunyai tahap rintangan rendah (low rolling resistance) bagi mempertingkatkan kecekapan penggunaan tenaga EV dan mampu memanjangkan jarak pemanduan sehingga tujuh peratus.

Google ads
Back to top button