Artikel Pilihan

9 PERANGAI BURUK ORANG MALAYSIA KETIKA MEMANDU DI JALAN RAYA

Hari ini kami nak buat satu teguran membina pada semua pengguna jalan raya termasuklah penulis sendiri berkenaan dengan perangai buruk orang kita bila memandu. Walaupun kereta makin canggih dan zaman makin maju tapi itu semua tak guna kalau pemikiran kita masih berada di takuk lama.

Ini antara senarai perangai buruk orang kita yang mesti diubah dengan segera:

1. Malas nak bagi isyarat membelok – atau malas nak bagi lampu signal bila nak masuk ke simpang. Tau-tau dia main belok saja. Kereta dan motor di belakang terpaksa melakukan brek kecemasan disebabkan perangai biawak dia seorang ini. Tombol signal ini lagi senang digunakan berbanding bagi isyarat tangan zaman dulu

2. Tak bertimbang rasa – bila ada pemandu lain dah bagi isyarat membelok atau menukar lorong, masa itu jugaklah anda nak selit dan cilok tak bagi dia masuk ke lorong anda. Cuba amalkan bila bampar kereta yang nak masuk ke lorong anda melebihi kereta anda, bertolak ansur dan bagi dia masuk lepas di bagi isyarat membelok.

3. Pandu perlahan di lorong kanan – salah satu sebabnya ialah berkonvoi. Sudah la kereta underpower, pergi sesakkan lorong kanan buat apa. Biarkan lorong kanan itu untuk pemandu laju. Tetapkan saja destinasi dan pukul berapa sampai, jangan sesakkan jalan raya dengan kereta anda. Jangan anggap 140 itu laju, sebab ada kereta lain bawak 180 pun biasa

4. Ikut belakang kereta lain dengan rapat – bila dah ada pemandu lain yang pandu perlahan di lorong kanan, mesti akan wujud satu spesis yang akan mencucuk kereta perlahan ini. Sabar tuan-tuan, kerana ada kereta bukan sengaja nak pandu di sebelah kanan, bagi la peluang untuk mereka potong lori ikan tue sekejap.

Dah lepas memotong lori dan mereka masih tak nak ke kanan, barulah bagi signal ke kanan untuk minta mereka masuk ke lorong kiri balik. Bagi mereka sedikit masa, kerana saiz enjin 1000cc tak sama dengan enjin 2500cc anda

5. Suka buang sampah di jalan – bagi memastikan kereta mereka bersih, spesis khinzir ini akan membuka tingkap dan membuang sampah di mana-mana sahaja tanpa rasa bersalah termasuklah di atas jambatan. Cuba amalkan letak satu plastik beg sampah dan kumpul sampah di situ sebelum buang dalam tong sampah. Mudahkan.

6. Jalan raya bukan tempat berlumba – wujud beberapa jalan yang berselekoh yang menjadi litar lumba tidak rasmi menjelang hujung minggu. Ulu Yam, Genting Highland dan Lebuh Raya Karak sinonim dengan aktiviti memandu uji kenderaan berkuasa mereka. Malang tidak berbau kerana mungkin ada orang yang kehilangan nyawa akibat aktiviti anda

7. Memandu dalam keadaan mabuk – dari dulu sampai sekarang tak selesai masalah ini. Dah bertukar kerajaan, dah buat peraturan, dah halang penjualan minuman keras nanti golongan ini akan perjuangkan hak asasi peminum arak. Cuba cek negara maju bagaiamana undang-undang dan penguatkuasaan dibuat.

Gambar dari MStar, menteri kesihatan India kantoi kencing tepi jalan

8. Kencing di tepi jalan – wujud satu golongan yang memang suka berhenti di tepi jalan untuk kencing baik muda mahupun yang tua. Sedangkan stesen minyak dan R&R tak jauh dari situ. Walaupun berkereta jenama mahal, mereka tidak segan silu membuang air kecil di tepi jalan.

Bagi yang muslim terdapat satu larangan kencing merata-rata terutama di jalan raya. Daripada Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

« اتَّقُوا اللَّعَّانَيْنِ ». قَالُوا وَمَا اللَّعَّانَانِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ « الَّذِى يَتَخَلَّى فِى طَرِيقِ النَّاسِ أَوْ فِى ظِلِّهِمْ ».

Hati-hatilah dengan al la’anain (orang yang dilaknat oleh manusia)!” Para sahabat bertanya, “Siapa itu al la’anain (orang yang dilaknat oleh manusia), wahai Rasulullah?” Beliau bersabda, “Mereka adalah orang yang buang hajat di jalan dan tempat bernaungnya manusia.”
[ Riwayat Muslim no. 269 ]

9. Suka buka lampu kabus belakang – walaupun malas buka lampu signal, ada satu golongan yang suka membuka lampu kabus belakang walaupun hari tidak hujan dan terang. Kami pun tidak tahu apa motifnya berbuat demikian sehinggakan pontianak pun boleh silau.

Mungkin banyak lagi perangai buruk orang kita semasa memandu yang kami lupa letak di sini. Anda boleh tambah di bahagian komen dan sama-sama kita perbaiki diri agar jalan raya ini lebih selamat, lebih bersih dan seronok untuk digunakan.

Google ads
Back to top button