ABANG BOMBA RENTAS 2,020 KM BERBASIKAL SOLO KUMPUL DANA
Bukan satu tugas mudah berbasikal secara solo sejauh 2,020 kilometer.
Berbekalkan semangat dan keazaman mengumpul dana bagi Tabung Kebajikan Anggota Bomba, seorang pegawai bomba sanggup mengerah kudrat sejak 6 Ogos lalu.
Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa, 38, berkata dia sudah singgah lebih 63 balai bomba di seluruh Semenanjung sepanjang pengembaraan.
Katanya, sehingga kini kira-kira RM12,000 berjaya dikumpul hasil sumbangan anggota dan pegawai bomba.
“Idea mengumpul dana dengan berbasikal itu tercetus selepas insiden enam anggota bomba lemas semasa operasi mencari dan menyelamat di Puchong pada 2018 dan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di sebuah kuil, tahun lepas.
“Sejak insiden lemas mengorbankan enam anggota bomba di Puchong dan kes arwah Muhammad Adib, ia menjentik hati saya untuk bantu waris-waris mangsa yang memerlukan.
“Jadi saya gunakan kudrat yang ada untuk menjelajah balai-balai bomba di Semenanjung dengan berbasikal bagi mengumpul sumbangan daripada anggota dan pegawai,” ujarnya.
Dia berkata hasil sumbangan berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk disalurkan kepada anggota bomba atau waris mereka yang memerlukan.
Mohd Fakhrul Munir yang juga jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah itu berkata, selain mengumpul sumbangan, misi jelajah berbasikal secara solonya juga dilakukan sempena ulang tahun ke-63 sambutan Hari Kebangsaan negara.
“Sasaran menjelajah ke 63 balai bomba adalah juga sempena ulang tahun ke-63 hari kebangsaan dan jarak 2,020 km pula diletakkan kerana tahun ini (2020),” katanya. – Bernama