Buletin

ABARTH DAN KAITANNYA DENGAN MOVISTAR YAMAHA MOTOGP SERTA VALENTINO ROSSI

Perlumbaan pertama MotoGP musim 2018 bakal bermula pada Ahad ini. Perlumbaan yang ditunggu-tunggu hasil cetusan drama sebelum permulaan musim lagi.

Valentino Rossi kekal dengan pasukan Movistar Yamaha MotoGP dan Hafizh Syahrin tidak semena-mena memperolehi peluang untuk beraksi dalam kategori MotoGP.

Berita-berita seperti ini dan aksi mendebarkan dalam perlumbaan adalah antara resipi utama MotoGP mempunyai peminat dan penonton setia. Senang kata, barang boleh jual sampaikan SIC sendiri tak perlu promosi susah payah hendak menarik penonton.

MotoGP juga adalah medan penjenamaan yang berkesan. Lihat sahaja ayat Semakin Di Depan dan Satu Hati masing-masing pada motosikal Yamaha dan Honda yang dijaja sehingga popular.

Walaupun MotoGP adalah medan perlumbaan motosikal ini tidak bermakna jenama kereta tidak boleh mengambil sedikit perhatian.

Jika beberapa musim sebelum ini jenama FIAT terpampang di kiri dan kanan motosikal Yamaha, logo kala jengking Abarth pula sudah tiga musim dilekatkan dan ia bakal diteruskan pada motosikal Yamaha YZR-M1 2018.

Sebelum itu apakah Abarth?

Abarth adalah jenama di bawah kumpulan FCA (Fiat-Chrysler Automobiles) dan mempunyai sejarah yang lama dalam menala kenderaan buatan FIAT.

Abarth bukan sahaja menaja pasukan Yamaha tetapi turut membekalkan kereta rasmi kepada pasukan MotoGP ini.

Kerjasama di antara Abarth dan Yamaha pula telah menghasilkan suatu yang menarik dalam dunia automotif.

Kedua-dua jenama ini telah mengeluarkan motosikal edisi terhad dengan nama Abarth 695 XSR Yamaha.

Motosikal ini adalah projek kedua dan kesinambungan kepada model pertama iaitu Yamaha XSR 900 Abarth.

Model pertama tersebut pula bukanlah sebuah superbike tetapi café racer dengan hanya 695 unit dihasilkan.

Motosikal ini diasaskan dari Yamaha XSR 900 (atau MT-09) yang kemudian diubahsuai kepada versi hardcore.

Abarth dengan Yamaha sebenarnya telah lama menjalinkan kerjasama. Pada tahun 2007 lagi, Abarth telah menaja motosikal Yamaha yang digunakan Valentino Rossi dan Colin Edwards.

Pada tahun 2008 kerjasama ini telah menghasilkan sebuah projek FZ-1 Abarth Assetto Corso dengan enjin Yamaha R1.

Motosikal konsep itu tidak pernah dihasilkan secara rasmi sehinggalah keluarnya Yamaha XSR 900 Abarth.

Lagi pula pengasas Abarth iaitu Carlo Abarth memang sukakan motosikal bahkan beliau mencapai kejayaan pertama dalam sukan di atas kenderaan dua roda dan ini dicatat pada tahun 1928.

Hebat sungguh bagaimana sukan lumba motosikal boleh menyatukan dua benua dan dua jenis kenderaan berbeza.

Ini adalah MotoGP, sukan yang hampir kepada rakyat!

 

Google ads
Back to top button