Artikel Pilihan

PELIK TAPI BENAR – NISSAN EVALIA TIDAK LAKU DI INDONESIA

Pelik. Memang pelik. Pasaran MPV di Indonesia yang tersangatlah luas. Tapi nampak gayanya ianya tidak begitu menjadi buat Nissan Evalia. Kalau nak diikutkan, Nissan Evalia ini tampak macam boleh jual juga. Tapi apabila terpaksa bersaing rapat dengan Toyota Kijang Innova, ternyata rakyat Indonesia jelas memilih jenama yang telah lama bertahta dalam hati dan sanubari Ibu dan Bapak di seluruh pelosok kepulauan Indonesia.

BACA : TEKSI LONDON NISSAN NV200

BACA : APABILA NISSAN NV200 PUN GUNA KUASA BATERI – SEKIAN, SELAMAT DATANG KE DUNIA EV

Kalau diikutkan, Nissan Evalia ini bukanlah calang-calang model. Platform model separa MPV / Van ini sebenarnya cukup selesa untuk membawa tujuh penumpang waima kesemuanya dewasa sekali pun. Diposisikan diantara Grand Livina dan Serena, sepatutnya Evalia ini tidak sepatutnya menghadapi masalah buat pengguna di Indonesia untuk mencetak slip gaji dan menyerahkan kepada Jurujual Nissan.

Berbanding pasaran luar, Nissan Evalia atau pun juga dikenali dengan nama Nissan NV200 boleh tahan handal juga sebenarnya. Model ini turut dijadikan sebagai New York Taxi City pada tahun 2013 dan juga Teksi London pada 2014. Mengharungi jalanan di dua buah kota yang besar sudah tentu sesuatu yang harus dibanggakan oleh Nissan. Apatah lagi Nissan telah mengeluarkan model ini semenjak tahun 2010 lagi.

Jualannya pula melata seluruh dunia. Apatah lagi kilang pemasangannya. Selain Jepun sebagai bumi kelahiran, Nissan ini turut dikeluarkan di Mexico, Barcelona, Zhengzhou, Chennai, Alor Pongsu (acah aja) dan juga Purwarkata Indonesia.

Dan untuk pasaran Indonesia, Nissa Evalia ini sebetulnya mempunyai spesifikasi yang boleh tahan juga. Sedap mata memandang. Sedap juga tangan yang memegangnya. Mempunyai rekabentuk kekotak, ruang adalah kelebihan yang ada padanya. Mempunyai ruang kelegaan kepala, mampu berikan keselesaan terutamanya buat warga emas yang mungkin mampu menghilang rasa lemas di dalam kenderaan.

Enjinnya pula dijanakan oleh HR15DE, sama seperti yang terdapat pada Nissan Grand Livina di sana. Mungkin sedikit lemau, jika dibandingkan dengan saiznya besar. Jenuhlah juga nak pijak pendikit sambil berdiri kalau mendaki Genting Sempah tu.

Tapi entah dimana silapnya, Nissan Evalia ini saban tahun semakin tidak mendapat sambutan pula di Indonesia. Buktinya, tahun 2017 jumlah keseluruhan jualannya hanyalah 17 unit sahaja. Iya, tak sampai 20 unit Nissan Evalia ini terjual seluruh Indonesia.

Graf penurunannya bermula pada 2012 apabila jualannya pada ketika itu 10,691 unit dan menurun separuh kepada 5,934 unit pada tahun 2013. Menurut Nissan Motor Indonesia (NMI), mereka belum bercadang untuk menamatkan jualan kerana stok yang masih tersedia di rangkaian Pengedar.

Tetapi menurut semakan Brader Karrager terhadap laman sesawang rasmi NMI, Nissan Evalia ini telah dikeluarkan daripada rangkaian produk yang dijual.

Nampak sangat Nissan Evalia ini tidak mampu nak bersaing lagi dah dengan MPV yang lain apatah lagi dengan kehadiran Mitsubishi Xpander dan juga pendatang baharu dari China yang mula menyerang pasaran. Elok buat van angkut aircond sahajalah nampak gayanya. Iya tak?

 

Google ads

B K

Back to top button