
ADA APA DENGAN FERRARI, TELEFON PINTAR DAN SISTEM NAVIGASI?
Pembuat kereta mewah Itali, Ferrari akhirnya menyedari bahawa telefon pintar pengguna adalah lebih baik dalam menyediakan sistem navigasi.
Sehubungan itu, Ferrari merancang untuk mengeluarkan ciri tersebut sepenuhnya dari model baharu, termasuk Purosangue dan 12Cilindri.
Menurut laporan dari Drive, ketua pemasaran produk Ferrari, Emanuele Carando, berkata bahawa “telefon pintar adalah yang paling mesra pengguna.”
Tambahnya lagi, pemilik kereta Ferrari tidak menggunakan kenderaan mereka sebagai pengangkutan harian, jadi mereka berpendapat tidak wajar membebankan pemilik dengan keperluan mempelajari sistem navigasi dalam kereta yang jarang digunakan.

“Majoriti orang di seluruh dunia hari ini memiliki telefon pintar, bukan hanya pemilik Ferrari, dan ia adalah benda paling berguna yang mereka boleh gunakan pada setiap kereta,” kata Carando.
Terdapat reaksi lantang terhadap pengumuman General Motors untuk menghentikan sokongan bagi Apple CarPlay dan Android Auto dalam usaha menggantikannya dengan perisian dalaman mereka sendiri.
Namun, Ferrari nampaknya mengambil pendekatan yang berbeza sekurang-kurangnya dalam satu aspek ini.
Sudah hampir sedekad sejak pelancaran Apple CarPlay dan Android Auto, dan kedua-duanya telah menjadi ciri yang mesti ada dalam hampir setiap kereta baharu hari ini.
Pelanggan sememangnya mengharapkan teknologi ini dalam kenderaan mereka selepas pengeluar kereta berjuang bertahun-tahun untuk menyediakan pengalaman pengguna yang baik dengan sistem proprietari mereka.