
KALAH SAING DARI CHINA, PENGELUAR KERETA JEPUN KINI FOKUS BANGUN KERETA PINTAR
Jepun kini sedang memperkukuh usaha untuk menggalakkan pengeluar kereta membangunkan kereta pintar yang sistem keselamatan dan hiburannya boleh dikendalikan oleh cloud computing.
Langkah ini diambil kerana Jepun kini ketinggalan berbanding pesaing dari China dan Amerika Syarikat dalam bidang ini.
Kerajaan Jepun telah menetapkan sasaran agar syarikat-syarikat Jepun dapat menguasai 30 peratus daripada pasaran “software defined vehicles” (SDVs) menjelang tahun 2030.
Ketika itu, jualan global dianggarkan akan mencapai 35 juta hingga 41 juta unit.

Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) akan memberikan sokongan kewangan serta membantu melatih tenaga kerja seperti jurutera teknologi maklumat dengan bekerjasama dengan universiti dan melancarkan kursus-kursus kemahiran.
Walaupun teknologi bantuan pemanduan dan ciri navigasi peta telah dipasang dalam kereta Jepun, ia masih kekurangan ciri-ciri yang lebih canggih.
Kerajaan Jepun ingin membina ekosistem di mana syarikat-syarikat dapat berkongsi data dan memperoleh keuntungan daripada perkhidmatan selepas jualan seiring dengan evolusi model perniagaan industri automotif.
Sebagai contoh, pendapatan global daripada perkhidmatan robo-taxi dianggarkan akan meningkat kepada AS$503 bilion (RM2.3 trilion) menjelang tahun 2035 — 80 peratus daripadanya datang daripada perkhidmatan selain daripada jualan kenderaan, menurut kementerian.
“Kami menjangkakan sebahagian besar keuntungan untuk perniagaan ini tidak datang daripada jualan kereta baru, tetapi model perniagaan akan berubah, dan jumlah keuntungan lebih besar akan diperoleh selepas jualan kereta,” kata pengarah pejabat transformasi digital mobility, Takeru Ito.
Antara pengeluar kereta Jepun, Nissan merancang untuk memulakan perkhidmatan kenderaan autonomi pada tahun 2027 bagi mengatasi kekurangan pemandu teksi.
Honda pula merancang untuk memulakan perkhidmatan teksi pandu sendiri menjelang akhir dekad ini, setelah menunda rancangan awal untuk melancarkan robo-taxi di pusat bandar Tokyo menjelang awal 2026.
Bulan lalu, Jepun telah menubuhkan Persatuan Pusat Penjejakan Automotif dan Bateri, sebuah platform untuk memastikan peredaran data yang selamat dan terjamin di kalangan syarikat.