Artikel Pilihan

ADAKAH MOTOSIKAL/SUPERBIKE SENTIASA LEBIH LAJU BERBANDING DENGAN KERETA?

Sesetengah pembaca mungkin lebih sukakan motosikal berbanding dengan kereta, manakala penulis lebih suka memandu kereta berbanding dengan menunggang motosikal. Salah satu sebabnya ialah penulis suka dengan keselesaan, penyaman udara dan kalau hujan baju tak basah serta menggigil kesejukan.

Bagi penunggang sejati seperti Abam Japar, dia memang sukakan dengan motosikal selain daripada memandu Perodua Alza miliknya. Kalau ditanya pada penunggang sejati, mereka akan katakan bahawa motosikal berkuasa tinggi sentiasa akan lebih laju daripada kereta sedan prestasi tinggi

Betul ke pendapat tu? Jadi kami sediakan beberapa fakta menarik untuk membandingkan prestasi motosikal/superbike berbanding dengan jentera 4 roda berkuasa tinggi bagi membandingkan pecutan, halaju maksimum kedua-dua jentera serta catatan masa di litar.

1. Motosikal/Superbike menggunakan enjin berkuasa tinggi dengan RPM yang lebih tinggi. Sebagai contoh Ducati Panigale V4 R merupakan jentera perlumbaan WSBK yang diluluskan untuk jalanraya hanya menggunakan enjin 998cc sahaja. Enjin sama saiz dengan Perodua Axia.

Tapi enjin V4 ini mampu mengerahkan 217 kuasa kuda pada 15,250 RPM dan menghasilkan 112Nm tork pada 11,500 RPM. Ok mungkin perbandingan yang lebih sesuai kita letak enjin 1000cc 3 silinder Ford Ecoboost yang menghasilkan 123 kuasa kuda pada 6000 RPM dan 170Nm pada 1400 RPM (turbo). Kalau tanpa unit turbo, mungkin tork yang dihasilkan adalah lebih rendah

2. Motosikal/superbike ringan. Sebagai contoh Ducati Panigale V4 R tadi hanyalah seberat 172kg sahaja dan kalau ditambah dengan berat penunggang 70kg, enjin tadi hanya perlu membawa beban 242kg sahaja untuk pecutan tangkas di jalan yang lurus.

Manakala kereta Ford Fiesta Ecoboost tadi adalah sekitar 1020kg atau 6 kali ganda lebih berat berbanding dengan superbike Ducati Panigale tadi. Apabila digandingkan dengan enjin yang berkuasa serta cesi yang ringan, ia akan menghasilkan pecutan yang cukup berkuasa iaitu 0-100km/j dalam masa 3 saat sahaja.

Kedua dua faktor di atas menerangkan bagaimana sebuah motosikal boleh memecut dengan pantas iaitu ia memiliki enjin yang beroperasi pada RPM tinggi serta cesi yang ringan. Tapi sebaik sahaja bergerak, faktor berat tadi menjadi sangat minima dalam aspek berapa halaju tertinggi yang boleh dicapai oleh kedua dua jentera.

Sebagai contoh Yamaha MT-07 dengan enjin 2 silinder 689cc (73 kuasa kuda @ 10,000 RPM) boleh mencapai halaju tertinggi 214km/h. Untuk contoh kereta kita ambil Volkswagen Passat 2.0TSi dengan 188 kuasa kuda dan 320Nm tork mampu mencapai 238km/j walaupun ia lebih berat berbanding dengan Yamaha tadi

Salah satu faktor yang menghalang motosikal mencapai halaju tinggi ialah motosikal/superbike memiliki rintangan udara yang lebih tinggi disebabkan kadar seretan udara yang tinggi berbanding dengan kereta yang memiliki kadar seretan yang rendah. Tapi Jetta memerlukan 7.9 saat untuk pecutan 0-100km/j berbanding dengan Yamaha yang perlukan hanya 3.3 saat sahaja.

Jadi adakah motosikal laju di litar dan jalan berselekoh? Bagi soalan ini ia bergantung pada rekaan litar itu sendiri. Jika litar tersebut banyak selekoh dan kurang laluan lurus, maka kereta akan lebih laju berbanding dengan superbike. Jika litar tersebut banyak laluan lurus dan kurang selekoh, maka superbike akan lebih laju.

Salah satu faktor yang menghalang motosikal laju di selekoh ialah rolling resistance yang rendah daripada 2 tayar yang digunakan berbanding dengan 4 tayar yang digunakan oleh kereta. Ini menjadikan kereta lebih stabil di selekoh berbanding dengan superbike, malah kereta masih berpeluang membetulkan trajektori laluan jika terbabas, manakala jika superbike terbabas ia akan jatuh tergolek

Sebagai contoh jentera F1 dicatatkan oleh Sebastian Vettel pada 2017 dengan catatan masa 1 minit 34.080 saat manakala jentera Moto GP pula mencatatkan masa 1 minit 59.661 saat oleh Valentino Rossi. Jadi laju dan berapa pantas masa antara superbike dengan jentera 4 roda bergantung pada keadaan litar dan juga jalan.

Google ads
Back to top button