Buletin

PERODUA CATAT REKOD PENYERAHAN SEBANYAK 27,858 UNIT PADA OKTOBER 2021

Perodua berjaya mendaftarkan 27,858 unit kenderaan pada Oktober 2021, berbanding 26,848 unit dalam tempoh sama tahun lalu. 

Rekod baharu itu berjaya dicatat dengan peningkatan pengeluaran dan penghantaran kenderaan yang pantas kepada para pelanggan. Perodua juga mensasarkan untuk menghantar sebanyak mungkin kenderaan pada suku

keempat 2021.

“Pencapaian ini mewakili peningkatan sebanyak 90.67% daripada 14,160 unit yang dijual pada September 2021. Kami kini berusaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran terutama untuk tahun ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’  Zainal Abidin Ahmad.

Daripada jumlah itu, sebanyak 8,761 ialah Myvi, 5,973 (Axia), 5,257 (Bezza), 3,973 (Ativa), 2,553 (Alza) dan 1,341 unit Aruz. Dari segi pengeluaran, Oktober 2021 juga menyaksikan jumlah kenderaan tertinggi yang pernah dikeluarkan dengan 29,803 unit dalam tempoh sebulan.

29,803 unit itu adalah di luar kapasiti pengeluaran semasa Perodua. Namun kakitangannya mampu meningkatkan produktiviti mereka dengan tahap kualiti yang sama, walaupun tanpa kakitangan, peralatan atau jentera baharu.

“Kami sentiasa mengambil berat aspek keselamatan dan kesihatan keseluruhan operasi dengan memastikan semua kakitangan mematuhi garis panduan pencegahan COVID-19. Pada masa yang sama memastikan  semua keperluan kualiti dipatuhi,” kata Zainal. 

Menurut Zainal lagi, lanjutan pengecualian cukai jualan Cukai yang diumumkan baru-baru ini amat dialu-alukan kerana ia membolehkan ekosistem automotif mempunyai lebih banyak ruang untuk pulih ekoran penutupan baru-baru ini serta mengejar permintaan.

Dari Januari hingga Oktober 2021, Perodua telah mencatat 146,951 unit iaitu 14.5% di bawah 171,861 yang didaftarkan pada tempoh yang sama 2020.

“Baki dua bulan lagi akan lebih mencabar kerana Perodua dan ekosistemnya masih menghadapi masalah bekalan akibat pandemik yang masih berterusan. Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan atas kesabaran  mereka dari segi penghantaran kenderaan,” tambahnya. 

Google ads
Back to top button