Buletin

ADAKAH NISSAN GTR AKAN DATANG JADI SEBUAH KERETA ELEKTRIK?

Model semasa Nissan GT-R R35 sekarang sudah dihasilkan sejak tahun 2007. Meskipun mendapat beberapa pembaharuan sejak 12 tahun lalu, namun tidak dapat tidak ia sudah terlalu “tua” untuk standard industri automotif hari ini.

Lambat laun, ia akan digantikan juga. Malah Nissan sendiri mengakui bahawa mereka memang sedang membangunkan model gantian GT-R dan sementara menantikan prototaip dan konsep dipamerkan banyak idea mula muncul terhadap penggantian model lagenda Godzilla ini.

Idea yang paling kerap disebut-sebut ialah transisi penggunaan enjin pembakaran dalaman kepada teknologi elektrik. Berdasarkan temuramah Top Gear dengan salah seorang lembaga pengarah bahagian perancangan Nissan, Philippe Klein baru-baru ini, beberapa kenyataan penting berjaya dirakamkan.

“Ya. anda perlu percaya bahawa kami akan lakukannya (menggantikan model GT-R R35).

“Pengalaman pemanduan sentiasa menjadi keutamaan kami. Kenderaan berteknologi elektrik juga seronok dipandu. Dan sekarang kami sedang beralih dari enjin petrol kepada teknologi EV – hybrid e-power”

Klein turut menjelaskan bahawa jurutera Nissan sedang “bekerja keras untuk beberapa pilihan enjin” dan regulasi automotif yang semakin ketat “memberi cabaran dan ia adalah persoalan yang perlu diselesaikan. Ada beberapa pilihan untuk penjana kuasa model baru ini dan mereka bertegas tetap akan hasilkan sebuah jentera yang seronok dipandu.

Ini mencadangkan bahawa GT-R baru berkemungkinan akan digabungkan dengan teknologi elektrik untuk memenuhi peraturan emisi yang semakin ketat. Sudah tentu, cabaran lain ialah menyelesaikan masalah lebihan berat bateri memandangkan model semasa GT-R kini hampri seberat 1800kg.

Klein juga memberitahu jika GT-R dipadankan dengan teknologi hybrid sekalipun, ia tidak akan menjejaskan keseronokan pemanduannya.

Google ads
Back to top button