
SEGALA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG NISSAN SKYLINE R33 GT-R.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini saya akan mengupas serba sedikit fakta tentang Nissan Skyline R33 GTR.
Kenderaan ini dilahirkan pada tahun 1995. Hanya setahun selepas Nissan Skyline R32 GTR ditamatkan produksinya pada tahun 1994. Ketika kelahirannya, model ini membawa beban yang amat besar iaitu meneruskan kecemerlangan dan legasi yang telah dicipta oleh model R32 GTR. Nak naikkan nama tak susah mana, tapi nak kekalkan nama tetap diatas tu memang susah bossku !
Jentera ini direka oleh Mr. Kozo Watanabe. Mamat ni juga lah yang bertanggungjawab mereka Nissan Skyline R34 GTR. Cukup legend dah dia ni. Haha !
Disebabkan model Nissan Skyline R33 GTR ini berkongsi platform Skyline, berikut merupakan model Nissan Skyline R33 bukan GTR dan kod enjin masing-masing:-
- HR33 GTS – 2.0L RB20E
- HR33 GTS – 2.0L RB20DE
- ER33 GTS-25 – 2.5L RB25DE
- ENR GTS-4 – 2.5L RB25DE
- ECR33 GTS-25t – 2.5L RB25DET
- ECR33 280 Type MR – 2.8L RB28DET
Eh ? MR ? Ye saya. Korang ingat Evo je ada MR ? Dah alang-alang ni biar saya kupas sedikit pasal jentera MR ni. Nissan Skyline R33 280 Type MR ni bukan calang-calang jentera. Ia dilengkapi dengan enjin berkod RB28DET. Enjin ini dibina khas oleh pihak REINIK (Racing & Rally Engineering Division Incorporated Nissan Kohi) hanya untuk model ini.

Maknanya, tiada model lain menerima enjin berkod RB28DET ini. Enjin ini asalnya menggunakan asas enjin berkod RB25DET, lalu diubahsuai dan dijenamakan sebagai RB28DET.
Kuasa yang mampu dihamburkan adalah sebanyak 296hp dan Torque sebanyak 353Nm. Boleh pergi lagi sebenarnya tapi pihak REINIK sengaja menghadkan kuasanya pada takat 300ps sahaja.
Selain enjin, komponen-komponen lain seperti sistem brek, suspensi, ekzos dikongsi bersama model GTR dan dibekalkan oleh pihak NISMO. Jentera ini menerima kod warna KR4 Sonic Silver dan Rim BBS. Selain itu, Emblem 280 MR dilekatkan pada but belakang.

Menarik tak ? Pernah nampak tak ? Kalau tak jangan risau. Sebab ada 20 unit je dalam dunia. Nissan Skyline GTR pun tak se-RARE jentera ni. Perkataan RARE pun rasanya belum layak diletakkan pada jentera ini. Hahaha! Kurang ajar punya Nissan. Pandai mainkan perasaan orang.
Baiklah, berbalik pada cerita GTR, dengan turutan kod chassis di atas, model GTR menerima kod BCNR33. Jadi, jika anda menjumpai model Skyline R33 tetapi kod chassinya bukan bermula dari BCNR33, model itu bukanlah model GTR.
Kecuali bagi model untuk pasaran United Kingdom (UK) dimana ia menggunakan 17 digit VIN. Dan hanya ada 97 unit sahaja Nissan Skyline R33 GTR yang dipasarkan ke UK.
Di atas tadi saya ada sebut tentang legasi dan kecemerlangan R32 GTR. Namun, ia tidak dapat menidakkan yang model R32 GTR bergelut dengan isu keseimbangan dan juga enjin. Perkara ini diambil kira ketika pembinaan model R33 GTR ini. Jadi, dimensi bagi R33 GTR ini secara totalnya dirombak dimana angkanya seperti berikut :-
- Wheelbase – 2,615mm(R32), 2,720mm(R33)
- Length – 4,545mm(R32), 4,675mm(R33)
- Width – 1,755mm(R32), 1,780mm(R33)
- Height – 1,341mm(R32), 1,360mm(R33)
- Curb Weight – 1,430kg(R32), 1,530kg(R33)
Angka-angka ini menunjukkan bahawa model R33 GTR adalah lebih besar, panjang, lebar, tinggi dan berat berbanding model R32 GTR. Justeru, dengan rombakan dimensi ini, jentera R33 GTR ini adalah lebih stabil dan seimbang.
Cuma tu lah, BERAT ! Selain itu, unit HICAS serta Atessa juga ditambah baik. Unit HICAS menerima perubahan ketara dimana sistem hidraulik yang digunakan digantikan dengan sistem elektronik. Sistem ini kemudiannya dinamakan sebagai Super HICAS.
Penambahbaikan juga dilakukan di bahagian enjin dimana masalah pam minyak yang membelenggu model R32 GTR diselesaikan dengan jayanya pada model R33 GTR ini.
Selain itu, unit turbo juga ditukar daripada “sleeve bearing” ke “ball bearing” untuk respon yang lebih cepat dan mengekalkan turbin seramik. Kecuali model N1 dimana ia menggunakan “sleeve bearing” dan “steel turbine”.
Unit “turbo dump pipe” dan “intercooler” juga menerima penambahbaikan. Kemudian, enjin ditala kembali dan kuasa yang dapat dihamburkan adalah sebanyak 301hp dan Torque sebanyak 375Nm.
Cuma tu lah. “Gentleman Agreement” membuatkan jentera ini diiklankan dengan kuasa “hanya” 280ps. Mungkin kali ini Nissan dan jemu dengan “Gentleman Agreement” atau memang mereka nakal sedikit. Benda boleh langgar, buat apa nak ikut ?
Jentera ini menerima transmisi 5-kelajuan daripada Getrag berkod FS5R30A dengan penambahbaikan komponen dalam yang lebih kuat. Nisbah gear masih sama seperti model R32 GTR iaitu :-
Gear 1 – 3.214
Gear 2 – 1.925
Gear 3 – 1.302
Gear 4 – 1
Gear 5 – 0.752
Gear Gostan – 3.369
Kita pergi pula kepada produksi. Produksi Nissan Skyline R33 GTR ini mempunyai 3 siri. Di mana setiap bilangan setiap siri seperti berikut :-
Siri 1 – 9,214 unit
Siri 2 – 3,703 unit
Siri 3 – 3,751 unit
Jadi, keseluruhan unit berjumlah 16,668 unit. Ye Tuan-Tuan. Hanya 16,668 unit Nissan Skyline R33 GTR TULEN yang ada di muka bumi ini. Bukanlah satu angka yang besar sebenarnya.
Bagi model bukan GTR pula, unit yang berjaya dijual adalah berjumlah 200,465 unit. Yang convert tak tahu nak kira macam mana. Haha.
Berikut merupakan sub-model yang dihasilkan mengikut siri masing-masing.
Siri 1 :-
- GTR – 5,050 unit
- V-Spec – 4,095 unit
- V-Spec N1 – 55 unit
- Unknown – 14 unit
Siri 2 :-
- GTR – 2,291 unit
- GTR LM Limited – 86 unit
- V-Spec – 1,203 unit
- V-Spec LM Limited – 102 unit
- V-Spec N1 – 21 unit
Siri 3 :-
- GTR – 1,958 unit
- V-Spec – 1,270 unit
- V-Spec N1 – 10 unit
- Autech GTR – 416 unit
- V-Spec(UK) – 97 unit
Haa, apa yang tiada ? Model R33 GTR tiada model V-Spec II ye Tuan-Tuan. Yang ada hanyalah V-Spec LM Limited. Bagi model N1, saya huraikan dibawah.
Sekarang kita pergi kepada model-model khusus bagi Nissan Skyline R33 GTR ini.
𝗡𝟭 & 𝗩-𝗦𝗽𝗲𝗰 𝗡𝟭
Bagi model N1, tiada kod warna lain yang diaplikasikan ke jentera ini selain kod warna QM1 White.Tapi, tak semua putih itu N1, ada juga GTR biasa. Tapi secara hakikat nya semua N1 itu putih.

Model ini juga mempunyai nilai rintangan angin (dibaca:Aerodynamic) yang lebih baik daripada GTR biasa. Paling ketara adalah rekabentuk spoiler belakang yang berbeza sama sekali.
Bagi enjin pula, blok enjin RB26DETT bagi model N1 mempunyai “stamping” kod “24U”. Kemudian, unit piston yang digunakan juga adalah berbeza di mana jarak “piston second land” diubah dari 4mm ke 4.6mm.
“Piston Ring Gap” juga diubah dari 1.5mm ke 1.2mm.Komponen seperti “Con-rod Bearings” juga menerima penambahbaikan dari segi material supaya lebih tahan.
Seperti yang saya terangkan di atas, unit turbo model ini menggunakan “sleeve bearing” & “steel turbine” untuk ketahanan. Jadi, dengan perubahan yang dilakukan ini, boleh dikatakan setiap enjin berkod N1 adalah enjin yang mempunyai ketahanan terbaik di dalam kelasnya.
Sebab tu sampai sekarang orang mencari enjin N1. Sebab memang lebihnya di sini pun. Kuasa? Masih sama sebenarnya. 301hp dan Torque sebanyak 375Nm.
Tapi nanti dulu. Kalau nak pakai daily drive kereta ni baca dulu yang berikut :-
- Tiada penghawa dingin
- Tiada wiper belakang
- Tiada beg udara (penumpang)
- Tiada radio & sistem audio
- Tiada cermin pelindung UV. Hanya cermin biasa.
- Tiada bantuan ABS
- Tiada karpet but. Buka je nampak besi
Kalau boleh terima syarat-syarat diatas, boleh lah bawak pusing-pusing KL pada pukul 1 petang tengok macam mana perginya. Haha.
Walaupun dengan “kekurangan” di atas, harga bagi model N1 ketika dilancarkan adalah lebih mahal sekitar RM45,000 dari GTR biasa dan lebih mahal dari model V-Spec sekitar RM26,000. Jadi memang betul lah nilai kenderaan ini pada enjinnya.
𝗟𝗠 𝗟𝗶𝗺𝗶𝘁𝗲𝗱 & 𝗩-𝗦𝗽𝗲𝗰 𝗟𝗠 𝗟𝗶𝗺𝗶𝘁𝗲𝗱
Model ni dilancarkan sempena penglibatan Nissan dalam kejuaraan LeMans dengan jentera Nismo GTR LeMans.
Jentera ini hanya dikeluarkan pada tahun 1996 sahaja. Iaitu ketika pengeluaran siri ke-2 model Skyline R33 GTR. Tiada model LM Limited dan V-Spec LM Limited dikeluarkan selain dari tahun 1996.
Kenderaan ini sangat senang di cam kerana ia menerima kod warna BT2 Champion Blue yang khusus hanya pada model ini. Kalau jumpa kod warna ni pada tag chassis maknanya model ini lah ni. Tak payah selidik jauh-jauh.
Bahagian enjin adalah sama seperti GTR biasa. Tiada perubahan dilakukan. Kelainan yang ada pada model ini adalah unit spoiler belakang, “bonnet lip” dan “front ducts” diambil dari model N1. Lagi satu, ada “decals” GTR dengan “checked flag” pada “c-pillar”. Model lain takde benda ni. Secara totalnya, hanya 188 unit sahaja model LM Limited (86 unit) + V-Spec LM Limited (102 unit) TULEN yang wujud di muka bumi ini.
𝗔𝘂𝘁𝗲𝗰𝗵 𝗩𝗲𝗿𝘀𝗶𝗼𝗻 𝟰𝟬𝘁𝗵 𝗔𝗻𝗻𝘆 𝟰 𝗗𝗼𝗼𝗿
Haa, ni model yang paling mencuri perhatian sebenarnya. Cuba fikir, dari dulu sampai lah sekarang, dari Hakosuka sampai lah ke R35, mana ada GTR 4 pintu ? Cuma dalam model R33 sahaja wujud GTR 4 pintu TULEN!

Produksi kenderaan ini dimulakan pada September 1997 dan berakhir pada November 1998 dengan hanya 416 unit sahaja dihasilkan untuk pasaran global. Kahkahkah. Kedekut punya Nissan. Ia datang dengan 4 pilihan warna iaitu :-
- KN6 Dark Grey Pearl (1 unit)
- KR4 Sonic Silver (253 unit)
- LP2 Midnight Purple (43 unit)
- QM1 White (119 unit)
Nampak tak ? Hanya satu model sahaja yang dicat dengan warna Dark Grey Pearl iaitu bagi model ke 241 dengan nombor chassis BNCR33-043114. Saya pun tak tahu siapa pemiliknya akan tetapi jika pemiliknya mengecat kenderaan ini dengan warna lain saya pun tak tahu nak cakap apa.
Enjin ? Sama je macam GTR biasa. Perbezaan ketara adalah pada jumlah pintunya. Hahaha. Cukup ketara dah tu.
Jadi, inilah dia hasil kerjasama diantara Nissan, Nismo dan Autech. Ingat ye, Nissan bukan hanya ada Nismo sahaja. Saingan bagi model ini tak banyak ketika itu kerana model ini telah dikategorikan sebagai Sport Sedan. Yang ada hanyalah :-
- 1998 Mitsubishi Galant VR-4
- 1998 BMW M3 4-Door Sedan
- 1998 Mercedes Benz C43 AMG
Cuma itu lah, dengan hanya 416 unit, memang susah nak nampak atas jalan.
𝗡𝗜𝗦𝗠𝗢 𝟰𝟬𝟬𝗥
Model ini menempatkan dirinya di hierarki tertinggi dalam keluarga Nissan Skyline GTR (sebelum dipecahkan oleh R34 GTR Z Tune). Jentera ini menerima penglibatan penuh pihak NISMO dan juga dibantu oleh pihak REINIK.
Sebenarnya bukan sahaja dalam keluarga Nissan, akan tetapi dalam industri Automotif global pada ketika itu. Benda boleh langgar, buat apa ikut?
Mungkin itulah yang mendorong pihak Nissan melanggar “Gentleman Agreement”. Jentera ini boleh dikatakan sempurna dari segenap aspek. Kuasa, pengendalian, aerodinamik, dan macam-macam lagi.

Kita mulakan dengan enjin. Enjin jentera ini dibina khusus oleh pihak REINIK dengan menggunakan platform RB26DETT.
Bore x Stroke enjin ini dibesarkan kepada 87mm x 77.7mm dan kemudiannya menjadikan kapasiti enjin ini bertambah kepada 2,771cc(2.8cc). Untuk perbandingan, Bore x Stroke RB26DETT adalah berukuran 86mm x 73.7mm dan mempunyai kapasiti 2,568cc (2.6cc).
Selain itu, berikut merupakan komponen yang ditambah baik :-
- Reinforced Engine Block & Cylinder Head
- NISMO Metal Head Gasket 1.2mm
- Piston with Cooling Channels
- Forged Crank Shaft
- Forged Connecting Rods
- N1 Turbo with Ball Bearings
- Reinforced Turbo Actuators
- High Flow Air Cleaner
- Stainless Steel Down Pipe
- Air Cooled Oil Cooler
- NISMO High Strength Intercooler
- Low Air Resistance Catalyzer
- 400R Exclusive Titanium Muffler
Melihat kepada senarai diatas, boleh dikatakan enjin ini diubahsuai secara total. Kemudian, enjin ini diberi nama baru iaitu RB-X GT2. Ingat kod enjin ini baik-baik ye. RB-X GT2.
Enjin ini hanya boleh didapati pada model ini sahaja. Boost kemudiannya ditetapkan pada 1.1 bar. Kuasa ? 444hp dan Torque sebanyak 471Nm.Baru lah betul kuasa 6 silinder sebaris bossku !
Kuasa dari enjin seterusnya disalurkan melalui unit klac NISMO 8.5inch Pull-Type Twin Plate dengan Lightweight Chromoly Flywheel. Ye Tuan-Tuan. Klac plat berkembar orikilang.
Selepas melalui unit klac, kuasa seterusnya dihantar ke kotak gear Getrag FS5R30A dan seterusnya ke gandar belakang & transfer case lalu ke tayar. Eh, sebelum itu macam ada yang tertinggal.
Oh ya ! Unit Propeller Shaft jentera ini diperbuat daripada Carbon. Beratnya cuma 7.7kg sahaja. 50% lebih ringan daripada Propeller Shaft GTR biasa. Walaupun ringan, harganya adalah berat. hahaha
Suspensi kenderaan ini ditala khas oleh pihak NISMO dan penyerap hentak yang digunakan diambil dari jenama Bilstein. Kemudian, di ruang enjin tersergam indah sebuah Titanium Strut Brace yang memang khusus untuk model ini.
Unit brek pula hasil kerjasama pihak Nissan dan Brembo dimana jentera ini menerima angkup brek 4 pot di depan dan 2 pot di belakang. Unit pad brek pula menggunakan unit NISMO TYPE 2.
Bahagian luaran pula menerima perubahan radikal pada unit bumper hadapan, bumper belakang, side skirt, spoiler belakang, bonet hadapan dan over fender.
Tidak dilupakan rim ikonik NISMO iaitu LMGT1 3-Piece bersaiz 18x10jj dan diselaputi tayar Bridgestone RE710 bersaiz 275/35R18. Rim LMGT1 ni buat pengetahuan semua harganya tak pernah murah ye.
Bahagian dalam jentera ini menerima unit meter khas daripada NISMO dengan indikasi kelajuan sehingga 320Km/h dan indikasi RPM sehingga 11,000rpm.
Tempat duduk pemandu dan penumpang dibuat khas oleh NISMO dengan konfigurasi Semi-Bucket. Unit “Gear Knob” diperbuat daripada Titanium. Kemudian, terdapat 3 meter tambahan di papan pemuka yang menunjukkan unit “Boost”, Suhu Minyak Enjin dan “Front Torque”.
Steering pula dibuat khas dengan butang horn diberi kemasan karbon serta ornamen “400R” ditengah-tengahnya. Paling istimewa, setiap kenderaan dilekatkan dengan tag nombor chassis khas dengan setiap unit mempunyai nombor siri masing-masing bermula dengan 400R-001 sehinggalah 400R-043.
Eh, baru 43 unit ? Lagi satu mana ? Haaaaa. Lagi satu menggunakan nombor 400R-000-T1 iaitu unit prototaip Nissan. Unit ini disimpan oleh pihak Nissan.
Nampak tak ? Habis luar dalam dirombak bagi menghasilkan unit NISMO 400R ini. Pada awalnya pihak Nissan bercadang untuk membuat lebih kurang 100 unit model ini namun akhirnya hanya 44 unit sahaja yang sempat dibuat sebelum produksi jentera ini ditamatkan bagi memberi ruang kepada adiknya iaitu Nissan Skyline R34. 44 unit je Tuan-Tuan yang ada di atas muka bumi ini.
Tahun 1997 dan 1998 berapa banyak je kenderaan yang mampu mencapai kuasa sebesar 400hp ? Tidak banyak. Antara pesaing utama jentera ini adalah :-
- 1998 Dodge Viper GTS – 8L 405hp
- 1998 Ferrari F355 Berlinetta – 3.5L 375hp
- 1998 Maserati 3200 GT – 3.2L 363hp
- 1998 Isdera Commendatore – 6L 389hp
- 1998 Mega Monte-Carlo – 6L 390hp
- 1998 Isdera Imperator AMG – 6L 404hp
- 1998 Jaguar XJR – 4L 370hp
- 1998 Chevrolet Corvette – 5.7L 345hp
Kenapa semuanya mewah dan eksotik ? Ehem. Ketika dilancarkan, harganya adalah ¥12,000,000 bersamaan dengan RM440,780 sebelum mak nenek cukai dikenakan. Dan itu adalah pada tahun 1998.
Bayangkan kalau dikira selepas inflasi berapa harganya sekarang ? Dan kesemua 44 unit habis dijual. Mungkin agak gila sebenarnya harga jualan yang ditetapkan apatah lagi bagi sebuah kenderaan buatan Jepun.
Namun, nilai estetika yang ada pada model ini tidak ternilai harganya. Ini bukan sekadar kereta, ini seni ! Jadi, pesaing-pesaing utama bagi jentera ini sememangnya kenderaan mewah dan eksotik.
KESIMPULAN
Walaupun tempoh pengeluarannya agak singkat iaitu hanya 4 tahun. Jentera ini telah mencipta legasinya sendiri di dalam industri Automotif.
Di dalam kalangan keluarga GTR dari Hakosuka sehinggalah R35, mungkin model R33 ini paling kurang peminatnya. Tapi hakikatnya ia tetap sebuah “Godzilla” yang harus dihormati oleh kawan dan lawan.
Mungkin ada yang tanya kenapa harganya tidak setinggi model R32 dan R34 ?
Baiklah, harga pasaran kenderaan jenis macam ni sebenarnya banyak dipengaruhi oleh pasaran Uncle Sam iaitu USA. Di USA, hanya kenderaan berusia lebih dari 25 tahun sahaja boleh dan sah diimport.
Hal ini kerana kenderaan yang berusia lebih 25 tahun dikecualikan daripada peraturan emisi yang ketat disana. Jadi, bagi model Nissan Skyline R32 GTR, ianya telah mula diimport pada tahun 2014. Bagi model Nissan Skyline R33 GTR, ianya boleh mula diimport pada bulan Januari 2020. Bermakna Tuan-Tuan sekalian, para penggemar dan pengumpul GTR di USA hanya perlu menunggu 8 bulan sahaja lagi sebelum model R33 GTR ini sah dipandu di USA.
Kesimpulannya, jika anda berkira-kira mahu membeli jentera ini. Belilah. Harga pun masih belum mengarut. Pedulikan cakap-cakap orang. Selepas ini pasaran akan lebih kompetetif dan kemungkinan harga juga akan melonjak. Apatah lagi apabila pihak Nissan mengumumkan yang mereka mula membuat kembali alat ganti untuk RB26DETT baru-baru ini.
Semua ini akan memberikan “domino effect” kepada pasaran GTR. Ingat, hanya ada 16,668 unit Nissan Skyline R33 GTR TULEN di dunia dan anda sebagai pemiliknya seharusnya berasa bangga. Jika anda memiliki model yang “Rare” seperti Autech 4 Pintu atau NISMO 400R atau LM Limited lagilah berganda perasaan bangga tu. Hahaha.
- BACA: FAKTA PENJAGAAN NISSAN GT-R
- BACA; FAKTA PENJAGAAN BMW F30 3 SERIES
- BACA: KENALI VTEC, iVTEC & VTEC TURBO
- BACA: SR16, JAWAPAN NISSAN KEPADA VTEC TYPE-R
- BACA: ENJIN SOHC & DOCH, MANA LEBIH BAGUS?
- BACA: VVT-iW, ENJIN GENIUS DARI TOYOTA
- BACA: 5 PETANDA ALTERNATOR HAMPIR ROSAK
- BACA: 6 TANDA SPARK PLUG PERLU DIGANTI
- BACA: PENYUNTIK BAHANAPI BESAR LAGI POWER?
- BACA: RAHSIA TENTANG MINYAK BREK (BRAKE FLUID)
- BACA: SEGALANYA TENTANG BREK ROTOR/DISC
- BACA: SEGALANYA TENTANG CALIPER BREK
- BACA: SEGALANYA TENTANG MAZDA SKYACTIVE-G
- BACA: SEGALANYA TENTANG R34 GTR