Motosikal

KING KENNY ROBERTS MENGULAS TENTANG MOTOGP, MARC MARQUEZ DAN VALENTINO ROSSI

Siapa yang tidak kenal dengan Kenny Roberts, bekas juara dunia 3 kali kelas premier 500 cc dari penghujung 70-an sehingga awal 80-an. Beliau merupakan antara bekas pelumba yang tetap aktif dalam GP motosikal dunia walaupun selepas bersara. Kenny turut mempunyai pasukan sendiri satu ketika dulu sebelum memperlahankan rentak tetapi masih mengikuti perkembangan MotoGP sehingga kini.

Menurut Roberts, MotoGP kini semakin menarik dengan pelumba-pelumba yang berbakat dan segala jenis peralatan yang digunakan membuktikan yang ini adalah perlumbaan terbaik di dunia. Perkembangan aerodinamik yang menjadi isu kebelakangan ini turut menarik perhatian Roberts. Jelas beliau ia sesuatu yang tidak mampu dilakukan satu ketika dahulu tetapi dengan teknologi kini ia bukan sesuatu yang mustahil dan mampu membuatkan perlumbaan menjadi semakin menarik.

Mengulas tentang Marc Marquez, Kenny menyatakan yang Marc memang boleh dikalahkan tetapi sambung Kenny individu yang boleh mengatasi Marc ialah diri beliau sendiri.

Jika pelumba lain ingin mengatasi Marquez, mereka mesti terus menerus memberikan tekanan kepadanya sehingga beliau melakukan kesilapan. Tapi buat masa sekarang ia agak mustahil untuk berlaku. Marquez bukan hanya laju tetapi beliau juga bijak dan tahu menguasai tekanan.

Walaupun Marquez menguasai perlumbaan sejak 2013 dan menyapu bersih gelaran juara dunia, juara dunia 7 kali, Valentino Rossi masih merupakan pelumba paling berjaya di dalam grid. Pelumba Itali itu yang mula menyertai GP500 pada tahun 2000, masih berada di podium sebanyak 2 kali dari 3 perlumbaan awal musim ini. Boleh tahan untuk seorang pelumba berusia 40 tahun.

Toyota Avanza – MREC – Desktop

Sudah tentu Roberts sendiri terkejut dengan pencapaian Rossi. Pada usia sedemikian, beliau berpendapat Rossi sepatutnya sudah bersara dan melepak sambil menghisap paip. Memang itu yang dilakukan Roberts selepas beliau bersara. Lepak kemudian hisap paip macam koboi sebenar tapi rasa paip tu memang tak menarik langsung, sambung Roberts.

Tapi faktor sebenar menurut Roberts mungkin ialah keadaan jentera yang digunakan dalam MotoGP kini yang jauh lebih selesa berbanding jentera 500 CC dahulu. Ia sangat ganas dan memang menjejaskan badan jika ditunggang untuk jangkamasa yang lama.

Satu lagi faktor mungkin kerana Rossi sebenarnya jarang ditimpa kecederaan serius. Itu merupakan salah satu faktor penuaan sebelum masa menurut kata Roberts dan perkembangan jentera itu sendiri daripada versi 2-lejang kepada jentera lebih moden turut memberikan sudut tunggangan yang berbeza. Rossi sememangnya antara pelumba yang memang berbakat dan cukup bertuah.

Tags
Google ads
Back to top button