Buletin

GEELY AKAN LANCAR LYNK & CO. MAHU JADIKAN PROTON JENAMA NO 1 DI MALAYSIA

Pada 31 Oktober lalu, Geely mengadakan persidangan “Smart Geely 2025” di Hangzhou, China. Dalam acara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Geely Automobile Group, Gan Jiayue mengumumkan strategi “Smart Geely 2025”.

Antara strategi itu ialah Geely mensasarkan untuk menjual 3.65 juta unit kenderaan pada tahun 2025 dengan lebih 40 peratus daripadanya melibatkan kenderaan tenaga baharu.

Daripada jumlah itu, 650,000 ialah kenderaan Zeekr dan baki tiga juta lagi ialah produk Geely Automobile Group yang turut merangkumi jenama Geometry serta Lynk & Co.

Namun, apa yang paling menarik perhatian ialah pengeluar kenderaan dari China itu mengesahkan bahawa jenama Lynk & Co akan memasuki pasaran Malaysia, Australia, Russia dan sebagainya.

Perkembangan ini mengukuhkan lagi bukti sebelum ini yang menunjukkan beberapa unit model Lynk & Co diuji di jalan raya di Malaysia. Setakat ini, masih belum ada model Lynk & Co dengan pemanduan sebelah kanan. Namun, Geely dilihat mampu menghasilkan model pemanduan sebelah kanan di kilang Tanjung Malim dan mengeksportnya ke pasaran lain seperti Australia dan New Zealand.  

Lynk & Co kini mempunyai tujuh model termasuklah 01, 02 dan 03 yang melibatkan SUV, sedan serta hatchback.

Dalam perkembangan berkaitan, Geely menyatakan komitmen untuk menjadikan Proton sebagai jenama No. 1 di Malaysia dan tiga teratas di pasaran ASEAN menerusi pengenalan teknologi serta produk-produk baharu.

Geely juga yakin menjelang tahun 2025, jualan kenderaan kenderaan baharunya akan mencecah 900,000 unit.

Strategi lain adalah seperti berikut:

  • Mempercepatkan transisi ke arah teknologi baharu dan Kepintaran Buatan (AI).
  • Inovasi teknologi baharu akan membolehkan Geely untuk membangunkan ekosistem lengkapnya sendiri yang terdiri daripada tenaga baharu, pemanduan autonomi, ketersambungan rangkaian pinta dan kokpit pintar.
  • Lebih 25 produk tenaga baharu pintar akan dilancarkan dalam tempoh lima tahun.
  • “Smart Geely 2025” akan berpaksikan kepada tiga sistem pintar baharu iaitu sistem tenaga pintar, sistem pengilangan pintar da sistem servis pintar.
  • Geely akan mula menghasilkan chip kuasa karbaid silicon secara massa yang dibangunkan sendiri pada tahun 2023.
  • Geely akan melancarkan jenama baharu menjelang tahun 2025 yang merangkumi 5,000 stesen penukaran bateri pantas di 100 buah bandar utama. Stesen itu dijangka dapat memenuhi keperluan 1 juta kenderaan.
  • Melancarkan SUV mewah elektrik pertama di Eropah pada tahun 2023, menawarkan produk tenga pintar baharu ke peringkat global.
  • Geely akan memberi fokus kepada pasaran Eropah Timur, Asia Barat, Asia Tenggara dan Amerika Selatan dengan membina lebih 600 pusat jualan di luar negara.
  • Menjelang tahun 2025, Geely merancang untuk mencapai pengurangan emisi karbon di seluruh rantaian operasinya sebanyak 25 peratus.  
  • Geely juga meramalkan peningkatan jualan dua kali ganda di China, sekali gus menjadi jenama nombor 1. Selain peningkatan perolehan sebanyak 30 peratus daripada sektor motosikal.
Google ads
Back to top button