Buletin

TOYOTA DEDAH LAND CRUISER 2022. PLATFORM GA-F, ENJIN V6

Selepas mengecapi kejayaan selama 14 tahun di peringkat global, Toyota Land Cruiser siri LC-200 akhirnya digantikan dengan model baharu.

Model terbaharu LC-300 menggunakan platform GA-F berdasarkan Toyota New Global Architecture (TNGA) malah masih mengekalkan casis ladder frame .

Ia sekali gus memastikan SUV off-road itu lebih ringan dengan pengurangan berat keseluruhan sebanyak 200 kg berbanding model terdahulu.

Dimensi masih mengekalkan seperti model siri LC-200 iaitu panjang 4,990 mm, lebar 1,980 mm dan jarak antara roda 2,850 mm.

Selain itu, Land Cruiser itu menawarkan lebih banyak pergerakan roda, sistem pemantauan pelbagai muka bumi (multi-terrain) dan Electronic Kinetic Dynamic Suspension System (E-KDSS).

Dari segi rekaan, ia menampilkan imej lebih rugged dengan lampu LED di bahagian hadapan dipadankan gril lebih besar agar dapat melindungi lampu terutama ketika meredah laluan off-road.

SUV terbaharu itu turut hadir dengan arca roda diperbaharui sentuhan moden dan lampu LED pada bahagian belakang.

Ruang dalaman pula, tidaklah begitu moden tetapi tertumpu kepada skrin infotainment yang besar malah masih kelihatan butang konvensional bagi memudahkan pemanduan off-road.

Bagaimanapun, ia masih hadir dengan teknologi terkini seperti sistem pengimbas cap jari, slot pengecasan peranti, tempat duduk ventilasi dan sistem audio JBL.

Land Cruiser baharu ini didatangkan enjin V6 3.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 415 PS dan tork 650 Nm.

Bagi varian enjin diesel, ia mendapat khidmat enjin V6 3.3 liter twin turbo dengan kuasa 309 PS dan tork 700 Nm.

Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan.

Jentera terbaharu itu dilengkapi Toyota Safety System seperti kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal laluan, amaran pra-pelanggaran serta lampu suluhan tinggi adaptif.

Toyota masih belum mendedahkan harga Land Cruiser 2022 malah akan memperkenalkan model lebih berkuasa GR Sport dalam masa terdekat. –carscoops

GALERI:

Google ads
Back to top button