
AL-KISAH OTAI EV, NISSAN LEAF. TAHUN 1947 PUN DAH BUAT EV
Kesedaran orang ramai terhadap alam sekitar membuatkan perhatian kini beralih kepada kereta elektrik, walaupun sebelum ini kereta dengan enjin pembakaran dalaman lebih diminati kerana mempunyai prestasi lebih baik.
Nissan adalah antara syarikat pertama di Jepun yang membangun dan menjual EV. Sebab itulah ia berada pada kedudukan terbaik untuk mengambil peranan utama dalam memacu masa depan mobiliti elektrik di peringkat global serta di ASEAN.
Dalam sejarah panjang Nissan, Nissan Tama 1947 merupakan EV sifar pelepasan pertama dari Nissan yang dihasilkan sebagai tindak balas kepada kekurangan petrol di Jepun pada masa itu.

Tama boleh memuatkan 4 orang pada jarak tempuh 100km hanya menggunakan kuasa elektrik dan berjaya menjual 1,100 unit ketika itu.
Jurutera Nissan sekali lagi berusaha untuk membangunkan EV termaju dan memanfaatkan pengalaman dalam kenderaan elektrik. Pada tahun 1996, Nissan mempunyai EV dikuasakan oleh pek bateri lithium-ion, menawarkan jarak sehingga 200km.
Seperti kita ketahui hari ini, pek bateri litium-ion digunakan secara meluas untuk menjana kuasa EV oleh semua pengeluar.

MENGUBAH PERSEPSI EV
Munculnya Nissan LEAF pada 2010 telah mengubah persepsi EV, terutamanya penggunaan pek bateri berkapasiti tinggi dan boleh dicas semula semudah mengecas telefon pintar.
Dengan stesen pengecasan lebih berkuasa, pengecasan semula boleh mengambil masa kira-kira sejam untuk mencapai kapasiti 80 peratus, sekali gus memberikan jarak perjalanan lebih jauh. Selain bateri, antara nilai tambah LEAF ialah saiznya yang cukup luas untuk memuatkan lima orang.

Namun, Nissan terpaksa berhadapan dengan mitos-mitos mengenai kereta elektrik. Salah satunya ialah pengguna takut terkena renjatan elektrik semasa mengecas ketika waktu hujan.
Jadi, Nissan melakukan Ujian perlindungan kejutan elektrik di Jepun bagi memastikan ia selamat digunakan seterusnya memperolehi kepercayaan dari pengguna.
Sehingga kini, lebih 600,000 pelanggan di 59 pasaran, termasuk Malaysia telah memilih kereta sifar pelepasan ini yang merupakan bukti kebolehpercayaan dan keselamatan.







