
HONDA HR-V TURBO 1.5V, 178 KUASA KUDA DAN 240NM TORK.
Honda HR-V merupakan trademark yang mencetuskan fenomena kegilaan pasaran terhadap crossover di Malaysia. Dengan harga yang kompetitif, ruang yang luas dan rekaan yang menarik, Honda HR-V generasi pertama merupakan sebuah model yang berjaya dan penting bagi Honda Malaysia.
Eh sekejap, sebenarnya di Jepun dulu telah wujud sebuah crossover kompak dengan rekaan 2 pintu wujud pada tahun 1998 dan dijual sebagai model eksklusif pasaran Jepun sahaja dan dikenali sebagai Honda HR-V. Model ini tidak pernah masuk ke pasaran Malaysia kecuali sebagai model recondition sahaja
Jadi dari segi teknikal, Honda HR-V terbaru yang diperkenalkan ini adalah model generasi ke 3 walaupun di Malaysia ia merupakan model generasi ke 2 di Malaysia. Terdapat 4 varian yang ditawarkan oleh Honda pada kali ini, dengan 3 penawaran enjin.

Model termurah ialah 1.5S dengan enjin 1500cc aspirasi normal DOHC VTEC, 1.5E dan 1.5V VTEC Turbo yang menghasilkan 174 kuasa kuda dan 240NM tork. Manakala varian tertinggi ialah varian 1.5 RS e:HEV yang lengkap dengan semua ciri keselamatan dan aksesori.
Dari segi harga varian 1.5 S ditawarkan pada harga RM 114,00, 1.5E turbo pada harga RM 130,000, 1.5V turbo meningkat kepada RM 134,000 dan e:HEV RS menjadi RM 140,800. Dari segi penampilan, 1.5S sangat senang dikenali dengan rekaan rim 16 inci yang kecil.
Varian 1.5V boleh dibezakan dengan 1.5 e:HEV RS dengan beberapa kemasan unik seperti logo depan yang berwarna krom (RS dengan latar belakang biru), tapi masih mengekalkan ciri lain yang sama seperti jeriji depan terapung, lampu depan dengan perumah hitam.

Varian turbo juga datang dengan elemen hiasan berwarna perak pada jeriji bawah berbanding dengan elemen warna merah pada varian RS. Rekaan sisi juga dibezakan dengan kemasan plastik hitam pada bahagian sisi yang berwarrna matte gelap berbanding dengan hitam berkilat pada varian RS
Honda HR-V generasi ke 3 juga mengekalkan rekaan unik tombol pintu belakang disembunyikan di bahagian bucu. Ia direka sebegitu rupa bagi menjadikan HR-V kelihatan sebagai sebuah crossover sport 2 pintu sahaja walaupun realitinya ia boleh diakses dengan menggunakan 5 pintu
Untuk rekaan belakang, varian 1.5V turbo mengenakan sepasang paip ekzos siap dengan kemasan krom serta lampu belakang dengan kemasan berwarna merah (RS menggunakan clear smoke). Varian 1.5V juga tidak diberikan pintu belakang berkuasa elektrik

Dari segi rekaan dalaman, HR-V baru juga adalah jauh lebih besar berbanding dengan model lama terutama dengan rekaan bumbung yang ditolak ke atas. Kusyen belakang pula boleh dilipat bagi membesarkan ruang kargo daripada 335 liter kepada 1274 liter.
Malah ciri Ultra Seat juga membolehkan kusyen dilipat ke atas, menyediakan ruang tambahan bagi ruang belakang untuk membawa barangan yang tinggi dengan mudah. Antara ciri-ciri moden yang ditambah pada HR-V termasuklah corong penyaman udara di bahagian belakang, sambungan Apple Car Play, Android Auto, corong penyaman udara air diffuser, 4 poin USB dan papan pemuka rekaan baru yang lebih lapang
Honda juga menempatkan enjin yang baru pada HR-V dengan kod L15C1. Antara perubahan yang diterima oleh enjin ini ialah sistem injap dengan mekanisme VTEC bagi menggantikan sistem VTC, nisbah mampatan direndahkan menjadi 10.3:1 tapi boost turbo dinaikkan kepada 14.5 psi iaitu menghampiri 1 bar.

Hasilnya enjin ini menjana 178 kuasa kuda dan 240Nm tork sebelum disalurkan pada roda depan menerusi transmisi CVT Earth Dream Honda. Angka rasmi Honda bagi bacaan bahan api ialah sekitar 15.38km/liter namun pemanduan secara realistik angka yang diperolehi ialah sekitar 14.9km/liter dengan halaju sekitar 90-140km/jam
Pecutan yang dihasilkan oleh HR-V turbo juga adalah yang terbaik dalam kelasnya, dengan pecutan 0-100km/jam boleh dibuat dalam masa 8.8 saat dengan halaju maksimum dihadkan pada 200km/jam.
Berdasarkan pengamatan penulis, pecutan 8.8 saat boleh dicapai dalam keadaan mode pemanduan Normal sahaja walaupun mode pemanduan Sport disediakan selain mode ECO.

Malah penulis jarang sekali menggunakan penukar gear yang ada disediakan dibelakang roda stering. Pijak saja pedal minyak, transmisi CVT akan menyediakan ratio yang tepat untuk anda memecut keluar dan memotong kenderaan perlahan di depan dengan cermat dan pantas
Bagi varian V, kualiti pemanduan dan dinamik yang ditawarkan adalah setara dengan varian e:HEV RS. Sistem suspensi dan penyerap hentak beraksi dengan kualiti yang jauh lebih baik daripada model sebelumnya walaupun menggunakan roda bersaiz 18 inci dan dibalut dengan tayar bersaiz 225/50 R18.
Segala lubang dan permukaan jalan yang tidak rata diserap dengan bagus sekali serta dipakejkan dengan bunyi “dub” bagaikan sebuah jentera buatan Eropah. Tapi pada masa yang sama HR-V masih mengekalkan jualiti Honda sebagai sebuah jentera yang bagus di selekoh.

Respon stering telah ditambah baik dan cesi belakang memberi tindakbalas yang pantas apabila input stering diberikan. Jadi HR-V 2023 ini lebih bagus dalam aspek keselesaan dan pada masa yang sama sangat sporti apabila di selekoh walaupun ia masih mengekalkan sistem suspensi torsion beam di bahagian belakang
Ya olengan cesi masih ada disebabkan HR-V ini terasa lebih tinggi berbanding dengan model sebelumnya, tapi olengan cesi ini seperti menekan tayar supaya lebih mencengkam di atas permukaan jalan.
Antara 2 teknologi yang diperkenalkan bagi HR-V bagi memberi kualiti pengendalian ialah Variable Gear Ratio Steering System (VGRS) dan juga Agile Handling Assist. VGRS membantu pemandu mengawal stering dengan mudah ketika di selekoh dan menjadi berat di laluan lurus bagi tujuan kestabilan.

Agile Handling Asssist pula akan menghantar kuasa brek ke semua tayar di sebelah kiri atau kanan HR-V ketika selekoh diambil. Sekiranya sistem mengesan HR-V akan terdedah pada understeer, maka brek akan masuk ke roda di sebelah dalam selekoh.
Sekiranya sistem mengesan bahagian belakang akan tergelincir dan mengalami oversteer, sistem akan masuk ke roda luar selekoh bagi membetulkan HR-V dan memberikan selekoh yang lebih neutral. Boleh dikatakan HR-V antara crossover yang paling mengujakan untuk dilenjan di laluan berselekoh
Paling seronok apabila anda boleh rasa cesi HR-V ini membelok dengan yaw rate yang lebih pantas, terasa lincah bagaikan kereta kompak di jalan persekutuan yang berselekoh. Tapi jika dipandu secara berhemah pun, HR-V ini tetap menawarkan kualiti pemanduan yang berkualiti terutama dengan sistem Honda Sensing.

Lane Departure Warning, Road Departure Mitigation, Lane Keep Assist System, Auto High Beam, Brake Mitigation System & Warning adalah antara beberapa ciri keselamatan aktif yang ada pada HR-V. Tapi penulis lebih menghargai ciri Adaptive Cruise Control, Low Speed Follow dan Lead Car Departure Notification System
Jika anda sudah penat memandu, sistem ACC boleh diaktifkan dan memberikan “mata dan telinga tambahan” yang akan memerhatikan keadaan sekeliling. Low Speed Follow membenarkan ACC terus diaktifkan sehingga kereta berhenti sepenuhnya dan bergerak semula. Pendek kata, anda boleh memandu dengan tenang walaupun ada kesesakan jalan raya sejauh 5km di hadapan anda
Tapi masih ada beberapa ciri moden tidak diberikan kepada HR-V seperti parkir sensor depan, kamera 360 darjah (hanya kamera undur belakang sahaja disediakan), skrin radio yang tidak nampak mahal dan juga bunyi tayar yang bising sedikit pada halaju melebihi 110km/jam

Tapi memang tidak dapat dinafikan yang Honda HR-V model baru ini adalah lebih baik daripada model lama. Ia lebih berkuasa, lebih lengkap dengan sistem keselamatan aktif, selesa dan mangekalkan ciri dinamik pemanduan yang bagus. Kalau anda rasa harganya mahal, mungkin anda boleh pertimbangkan varian 1.5S dengan harga RM 114,000 sahaja.

