Buletin

ALEX RINS SEKAT DOMINASI MARQUEZ DI SILVERSTONE – PINTAS PADA SAAT AKHIR

Perlumbaan MotoGP di Litar Silverstone, United Kingdom baru sahaja berakhir.

Persaingan yang penuh dramatik itu menyaksikan pelumba pasukan Suzuki, Alex Rins berjaya menyekat dominasi pelumba Repsol Honda, Marc Marquez.

Bersaing dalam kedudukan 1-2 sejak awal perlumbaan, Marquez dilihat bijak menafikan hasrat Rins untuk mendahului perlumbaan. Biarpun begitu, Rins berhaya memintas pelumba dari Sepanyol itu beberapa kali.

Namun, setiap kali juga Marquez berjaya kembali berada di hadapan.

Apa yang lebih manis, Rins hanya mampu memotong Marquez pada saat-saat terakhir, lebih tepat lagi, hanya beberapa meter sebelum garis penamat.

Ini merupakan kemenangan kedua buat Rins pada musim 2019 dan berjaya mengumpul 25 mata berharga di Silverstone.

“Sukar dipercayai. Tiada perkataan yang dapat saya katakan kerana saya hampir terbabas sebelum ini. Malah, dalam dua pusingan terakhir saya masih sukar untuk mengatasi Marquez.

“Saya memang bernasib baik kerana dapat memotongnya pada saat-saat akhir. Terima kasih kepada seluruh pasukan Suzuki dan penyokong kami,” kata Rins.

Tempat ketiga dihuni oleh pelumba Yamaha, Maverick Vinales yang berjaya memotong rakan sepasukan, Valentino Rossi.

Nasib malang bagaimanapun menimpa pelumba Ducati, Andrea Dovizioso yang terlanggar jentera pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo, hanya beberapa saat selepas perlumbaan bermula.

Perlanggaran itu menyebabkan jentera Divizioso terbakar dan beliau terpaksa diangkat menaiki stretcher keluar dari litar.

Google ads
Back to top button