Motosikal

MOTOGP AUSTIN: KEMENANGAN ALEX RINS DAN SUZUKI MERUPAKAN SATU EVOLUSI

Gandingan Alex Rins dan Suzuki sebenarnya sudahpun memberikan cabaran hebat untuk merebut podium sejak penghujung musim lepas. Kini selepas pemilihan alat-alat ganti baru dilakukan dengan teliti pada musim sejuk ia mula membuahkan hasil dengan kemenangan di Austin tempohari. Memulakan tahun rookie pada 2016 dengan Suzuki, Rins sekadar menduduki tangga ke-11 keseluruhan kerana sering ditimpa kecederaan.

Alex dan GSX-RR kemudian meningkat naik selepas perlumbaan di Misano sebelum mengakhiri musim dengan kedudukan yang lebih baik dan merangkul tempat ke-5 keseluruhan.

Pengurus pasukan Suzuki Davide Brivio menyatakan yang Alex sememangnya berhak memang kerana mereka sebelum ini memang sudah sekian lama menghampiri podium dan ia bukannya satu kebetulan. Ia merupakan kemenangan pertama Suzuki selepas kali terakhir menang pada tahun 2016 oleh Maverick Vinales.

Kami sentiasa menghampiri podium, kadang kala di atas podium dan kadang kala sedikit di bawah dalam setiap perlumbaan kecuali jika ditimpa masalah. Jadi kemenangan ini merupakan satu proses evolusi untuk pasukan kami sambung Brivio. 

Sudah tentu setiap kali berlumba kami sentiasa berhasrat untuk menang dan kami cukup gembira dengan kemenangan ini dan ia sebenarnya satu hadiah untuk semua jurutera kami di Jepun yang bekerja keras sepanjangn musim sejuk untuk menyiapkan motosikal. Tidak ada revolusi yang besar tetapi kebanyakannya ialah pelarasan kecil untuk memantapkan lagi jentera untuk perlumbaan ini.

Perhatian yang teliti memang diberikan dalam memilih alat ganti dan Suzuki juga telah membangunkan banyak alat ganti dan mereka kemudiannya membuat pilihan dengan teliti bagi mendapatkan kelebihan sebanyak mungkin. Ia sebenarnya sama seperti bermain puzzle di mana pemilihan perlu dilakukan dengan tepat.

Satu kelebihan jentera Suzuki ialah walaupun ia mampu mengambil selekoh dengan laju, tekanan ke atas tayar masih dalam keadaan terkawal dan ia merupakan satu kelebihan.

Bukan itu sahaja, Rins juga menunggang dengan cukup baik dan ia diakui sendiri oleh Valentino Rossi yang menyatakan Rins mengambil laluan yang cukup selamat untuk mengelakkan bonggol dan beliau juga menggunakan brek dengan bijak.

Mereka kini mempunyai motosikal dan penunggang yang cukup baik dan diharapkan 16 perlumbaan yang akan datang akan memberikan tuah untuk mereka. Kini Rins sudah membuktikan kehebatan beliau dengan berada di tangga ketiga keseluruhan dengan hanya 5 mata memisahkannya dengan Dovizioso. Jika keadaan ini berterusan tidak mustahil Suzuki kembali akan memeriahkan kategori pengeluar MotoGP.

Tags
Google ads
Back to top button