Buletin

ALFA ROMEO RACING LIMITED EDITION – SEDAN & SUV 520 HP, 600 NM!

Lama tidak dengar khabar tentang Alfa Romeo, jenama seksi daripada Itali. Walaupun jarang dikhabarkan, Alfa Romeo sekarang ini aktif di arena antarabangsa apabila menyertai sukan Formula Satu bersama pemandu Kimi Raikkonen.

Model Alfa Romeo yang sering diketengahkan sekarang ialah sedan Giulia dan SUV Stelvio.

Ini bukan model biasa-biasa kerana ia diposisikan bagi menyaingi model premium keluaran Jerman.

Bagi meraikan penyertaan semula ke dalam Formula 1 di bawah nama Alfa Romeo Racing, dua buah model tersebut kini ditampilkan dengan edisi khas dikenali sebagai Giulia Quadrifoglio dan Stelvio Quadrifoglio “Alfa Romeo Racing”.

Model ini terhad kepada sepuluh buah Giulia Quadrifoglio dan tiga buah Stelvio Quadrifoglio sahaja yang diedarkan untuk pasaran United Kingdom.

Di bawah bonet kedua-dua model tersebut ialah enjin 2.9 liter V6 Bi-Turbo petrol dengan kuasa 520 hp dan 600 Nm.

Daya pecutan dari 0 hingga 100 km/j mengambil masa 3.9 saat dengan kelajuan maksimum 307 km/j Untuk model Giulia Quadrifoglio.

Model Stelvio Quadrifoglio pula berkelajuan 283 km/j dengan pecutan dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.8 saat.

Satu keistimewaan pada edisi Alfa Romeo Racing ialah pakej Aero Enhancement yang terdiri daripada skirt sisi lebih lebar, splitter depan, spoiler lebih menonjol dan winglet sisi yang kesemuanya memberi faedah daripada segi prestasi aerodinamik.

Menambah hiburan telinga ialah ekzos titanium Akrapovič dan talaan semula enjin dengan tambahan kuasa 10 hp berbanding model Quadrifoglio asal.

Ciri luaran lain ialah bumbung dengan corak gentian karbon pada Guilia, roda aloi gelap 19 inci untuk Guilia dan 20 inci untuk Stelvio dan perincian gentian karbon pada cermin sisi.

Cakera brek adalah jenis seramik karbon dengan angkup brek berwarna merah.

Bahagian dalam dipasangkan kerusi perlumbaan Sparco dengan sulaman merah dan stereng yang dibalut Alcantara dan kemasan karbon.

Setiap unit kereta akan dilengkapi logo Alfa Romeo Racing bagi memperingati sepuluh kemenangan Alfa Romeo di dalam F1 dari tahun 1950 hingga 1951.

Harga permulaan kedua-dua edisi Alfa Romeo Racing ini tidak murah walaupun di UK, pesanan bermula daripada £89,500 (RM463,762) untuk Giulia dan £96,500 (RM500,034) untuk Stelvio.

*£1.00 = RM5.18

Tags
Google ads
Back to top button