Buletin

KEGILAAN SUV: ALFA ROMEO STELVIO QUADRIFOGLIO CATAT REKOD PERTAMA DI 3 LITAR

Apa khabar Alfa Romeo? Lama tidak mendengar cerita tentang jenama ini di pasaran tempatan selepas ianya tidak lagi ditawarkan secara rasmi.

Di luar sana Alfa Romeo masih lagi aktif dengan pelbagai model yang menawan hati.

Alfa Romeo kekal menawan dengan model penumpang seperti Giulia, sporster 4C Spider dan model massa seperti Giulietta dan Mito.

Dalam barisan model tersebut Alfa Romeo juga mengikut trend terkini dengan menawarkan SUV.

Iya, pertama kali di dalam sejarah Alfa Romeo mempunyai SUV dan ia dikenali sebagai Stelvio.

SUV ini bukan sahaja menawarkan reka bentuk menawan tetapi pakej prestasi luar biasa melalui model Stelvio Quadrifoglio.

Alang-alang buat SUV kali pertama biar jadi ingatan.

Bagi membuktikan Stelvio Quadrifoglio benar-benar handal, Alfa Romeo telah menghantar SUV ini ke tiga litar ikonik di United Kingdom.

Tiga litar tersebut ialah Brands Hatch Indy, Donington Park dan Silverstone tempat berlangsungnya Formula Satu.

Berikut ialah catatan masa oleh pelumba profesional David Brise di litar terlibat:

  • Brands Hatch Indy – 55.9 saat
  • Donington Park – 1 minit 21.1 saat
  • Silverstone – 2 minit 31.6 saat

Dengan rekod ini bermakna pengeluar atau model lain harus mencabar dan mengatasinya.

Stelvio Quadrifoglio yang digunakan kekal standard dan rekod tersebut dicapai disebabkan binaan SUV itu daripada bahan ringan seperti aci pemacu daripada gentian karbon, nisbah berat 50/50 dan enjin aluminium 2.9 liter 24V V6 turbo berkembar.

Enjin ini mampu menghamburkan kuasa 510 hp dan daya kilas 600 Nm di tiga litar tersebut.

Alfa Romeo dan Stelvio bukan nama asing dalam memecahkan rekod masa di litar. Pada tahun 2017 SUV ini mencatat penanda aras baharu untuk SUV produksi di litar Nürburgring dengan masa 7 minit 51.7 saat, lapan saat lebih pantas berbanding rekod SUV sebelumnya.

Google ads
Back to top button