Artikel Pilihan

ALKISAH NIZAM DAN MITSUBISHI EVO 3

Sesungguhnya Mitsubishi Evo 3 ini adalah lagenda dalam dunia rali. Entah berapa banyak Wira yang terkorban telah disumpah untuk menjadi sebuah Evo 3 jadian. Tetapi yang Brader Karrager paparkan ini adalah ori sebuah Evo 3. Sudahlah rare, dibuatnya main rali aja si Nizam ni.

Nizam merupakan seorang pelumba yang cukup dikenali, baik di trek Kelapa Sawit mahupun di Litar Sepang dan tidak lupa juga Litar di Ayer Keroh. Orangnya masih muda kalau ikut kulit muka tapi kalau ikut IC pun masih layak lagi untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda rasanya ni.

Menurut Nizam, beliau dah lama geram nak merasa jentera yang lebih berkuasa serta mempunyai pacuan empat roda. Apatah lagi sebelum ini beliau banyak terpengaruh dengan kereta lumba yang sama pernah digunakan oleh Karamjit Singh bersama pasukan PERT suatu ketika dahulu. Tahun sudah beliau cuma beraksi dalam kelas P11 sahaja bersama Proton Satria. Tapi ternyata rezeki berpihak kepada beliau untuk merasa sesuatu yang lebih berkuasa bagi saingan rali musim ini.

Nizam sebetulnya mempunyai masa yang cukup suntuk untuk menyiapkan Evo 3 beliau kepada sebuah kereta rali yang lengkap sebelum beraksi dalam saingan Tri-Nation Sprint Rally tempohari.

Mujur juga menurut beliau rollcage dan sistem ekzos berjaya juga disiapkan terlebih dahulu oleh pihak K1 Exhaust. Menariknya dalam proses pemasangan rollcage, Nizam masih sempat mendapatkan enjin kosong untuk disumbat ke dalam ruangan enjin.

Usai selesai, barulah Nizam menghantar kereta beliau untuk dicat dengan warna tema Putih / Kuning untuk diselarikan identiti dengan kereta sepasukan yang lain. Baru seragam orang kata. Kemudiannya barulah kelengkapan enjin, dan peralatan dalaman dipasang.

Selain itu, kejayaan untuk sesuatu perlumbaan rali, sudah tentulah tetapan sistem gantungan antara faktor utama yang banyak memainkan peranan sang pemandu mengelakkan daripada terjerumus ke parit misalannya. Dan perkara ini, sudah tentu Nizam melahirkan rasa bersyukur kepada Fawster, sebuah tuner tempatan yang cukup pakar bab – bab pengendalian kerana mampu menyiapkan tetapan dalam masa yang cukup singkat.

Dan hasilnya, walau pun dalam masa yang cukup singkat dan tanpa persiapan yang benar – benar rapi namun masih cukup membanggakan. Apatah lagi ini kali pertama Nizam dan Juruarah beliau merasai kuasa sebenar 4WD. Catatan masa Nizam sewaktu berlumba di Tanamera tempohari boleh tahan. Tempat ketiga keseluruhan serta catatan masa yang tidak terlalu jauh dengan pemenang di tempat pertama.

Apa pun kita tunggu perlumbaan rali yang berikutnya. Mampukah Nizam dan Evo 3 beliau akhirnya menaiki podium kejuaraan? Kalau tengok kepada gaya lompat, sepatutnya beliau dah lama melompat lebih tinggi. Kan?

BACA : MITSUBISHI EVO III 4G63

BACA : BUKAN LANCER EVO BIASA. INI EVO COUPE

Tags
Google ads
Back to top button