Artikel Pilihan

ANGIN TAYAR, PENTING ATAU TIDAK?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Apabila anda mempunyai kenderaan khususnya kereta, penyelenggaraan berkala merupakan proses penting untuk memastikan jentera anda berada dalam keadaan yang baik dan layak dipandu di atas jalanraya.

Penyelenggaraan berkala kebiasaannya akan dilakukan oleh pihak bengkel yang dipercayai oleh pemilik. Namun begitu, tidak semua perlu diserahkan kepada pihak bengkel.

Antaranya ialah pemeriksaan tekanan angin tayar.

Nampak mudah, namun apabila tayar tidak mendapat tekanan yang ideal, ia mampu memberikan kesan buruk terhadap tayar tersebut bahkan mampu mengundang malapetaka !

Fuh ! Penting sangat ke ?

𝐏𝐄𝐍𝐓𝐈𝐍𝐆 𝐓𝐔𝐀𝐍 𝐓𝐔𝐀𝐍 ❗

Sekarang kita pergi lebih dalam. Tekanan angin tayar memberikan kesan langsung kepada aspek pengendalian jentera. Sekiranya tekanan angin terlalu tinggi, pengendalian akan terasa lebih kasar dan cengkaman tayar terhadap permukaan jalanraya juga akan berkurang.

Bukan itu sahaja, disebabkan tekanan angin tayar berlebihan juga tayar akan lebih cepat untuk haus di bahagian tengah berbanding kawasan lain. Sekaligus membuatkan permukaan tayar menjadi tidak rata seiring dengan masa dan penggunaan.

Akibatnya ? Kebarangkalian untuk berlakunya kemalangan adalah lebih tinggi lebih-lebih lagi jika jentera dipandu pada permukaan licin.

Sekiranya tekanan angin terlalu rendah, ia juga akan memberikan kesan langsung kepada pengendalian dimana jentera akan terasa lebih membuai dan tidak stabil. Selain itu, penggunaan bahanapi juga akan bertambah disebabkan faktor “Rolling Resistance” yang tinggi.

Yang paling menakutkan, jentera cenderung untuk menghadapi masalah “Hydroplaning” apabila terlanggar lopak air. Tidak kira secanggih mana pun sistem bantuan sesuatu jentera itu, apa yang patut dilakukan sekiranya “Hydroplaning” berlaku adalah bertawakal kepada yang Maha Esa.

Nampak tak ? Lebih tak boleh, kurang pun tak boleh.

Habistu ? Berapa angin tayar yang ideal ?

Kebanyakan pengeluar kenderaan telah menetapkan spesifikasi angin tayar dan meletakkan info tentang angin tayar di bahagian “B-Pillar” ataupun di “Fuel Lid” jentera.

Kebanyakan di antara pengeluar juga menetapkan tekanan angin tayar sekitar 32-40psi bergantung kepada saiz tayar dan juga berat jentera.

Untuk kenderaan moden, kebanyakan darinya sudahpun dilengkapi dengan sistem “Tire Pressure Monitoring System”(TPMS). Sistem ini bertujuan untuk memberi info tentang tekanan angin tayar kepada pemandu dan infonya boleh diakses melalui “Instrument Cluster” jentera tersebut.

Ada juga syarikat pengeluar pihak ketiga yang menawarkan produk TPMS “Aftermarket” dimana produk ini boleh dipasang pada jentera yang tidak dilengkapi dengan sistem TPMS.

Kalau tak penting, nescaya pihak pengeluar tidak bersusah payah untuk melengkapkan barisan model kenderaan mereka dengan sistem ini.

Jadi Tuan-Tuan, sentiasa lah periksa keadaan angin tayar anda. Sekurang-kurangnya sebulan sekali. Lebih kerap lebih baik. Tak susah pun Tuan-Tuan, kebanyakan stesen minyak di negara kita dilengkapi dengan pam beserta tolok elektronik. Boleh pam dan periksa disitu.

Tayar merupakan komponen kenderaan yang menghubungkan nyawa kita dengan permukaan jalan. Gagal tayar gagal lah semuanya.

Google ads
Back to top button