
KERETA POLIS DI AMERIKA SYARIKAT – KENAPA BANYAK JENIS SANGAT NI?
Amerika Syarikat ialah sebuah negara yang sangat besar dan memerlukan anggota penguatkuasa seperti anggota polis yang sangat ramai. Justeru itu struktur operasi polis mereka agak kompleks berbanding negara kita yang semuanya berada di bawah naungan PDRM ataupun Polis Di Raja Malaysia.
Tapi sebab kita ni laman web permotoran kami cuma kan fokus kepada jenis-jenis polis yang ada kat sana berdasarkan liveri dan kereta yang digunakan mereka. Mana tau kot-kot korang pergi sana kena main kejar-kejar pulak kat sana. Okey mari kita lihat apa jenis polis dan level diorang.
Polis Bandar/Polis Daerah
Kalau korang ditahan ataupun terserempak dengan kereta yang bertulis City Police atau County Police, mereka sebenarnya ialah polis daerah ataupun bandar tertentu. Biasanya nama bandar turut di tulis pada badan kereta peronda mereka. Kuasa mereka cuma terhad di dalam kawasan daerah ataupun bandar mereka sahaja. Tapi jangan nak melawan pulak. Mereka tetap anggota polis okey walaupun jika diikutkan ini ialah polis tahap paling rendah dalam struktur polis AS.


Sheriff Bandar/Daerah
Okey kalau nasib baik korang mungkin dikejar ataupun ditahan oleh pegawai dari Jabatan Sheriff bandar ataupun daerah tertentu. Sheriff mempunyai tahap yang lebih tinggi dari polis daerah atau bandar kerana mereka berurusan terus dengan mahkamah. Bahkan mereka sebenarnya adalah tangan kepada mahkamah dalam menguatkuasakan undang-undang.
Satu lagi sheriff biasanya dipilih melalui pilihanraya dan beliau kemudian akan dibantu oleh timbalan-timbalan yang dilantik beliau sendiri. Tengok ada tulisan sheriff kat kat kereta tu sahlah diorang dari jabatan sheriff.


Polis Negeri
Atas lagi dari jabatan sheriff tadi ialah polis negeri juga dikenali dengan nama state police ataupun state trooper. Kuasa mereka merentasi negeri dan cukup luas. Mereka ini berkuasa membuat siasatan peringkat negeri dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya. Yang ni kira level paling atas la. Kereta peronda mereka biasanya tertera dengan tulisan ‘State Trooper’ dan mereka akan memberikan bantuan sekiranya dipanggil oleh jabatan sheriff ataupun polis daerah/bandar.


Texas Ranger
Okey ni spesial sikit sebab ada dekat Texas je. Texas Ranger ni sebenarnya setaraf dengan polis negeri jadi di Texas merekalah yang berada di kasta paling atas. Jadi kalau kena tahan atau kejar dekat Texas dan kereta peronda mereka tertulis Texas Ranger. Berhenti dan jangan ingat diorang renjer taman negara. Naya korang nanti. Diorang ni biasanya berpakaian ala koboi dan memakai lencana ala sheriff koboi zaman wild west dahulu.


Itulah antara jenis-jenis polis dan tahap mereka yang boleh korang temui di AS. Semuanya polis sebenar dengan bidang kuasa masing-masing jadi hormatilah undang-undang tempat orang macam kita mahu orang hormatkan undang-undang kita. FBI, DEA, ATF, NSA dan macam-macam akronim lagi tu bukan polis dan mereka mempunyai tugasan dan jurisdiksi yang berbeza.