Artikel Pilihan

APA BEZA ENJIN TURBO SEKARANG DENGAN ENJIN TURBO DULU-DULU?

Teknologi turbo bukan benda baru kerana teknologi ini telah diperkenalkan pada umum semenjak tahun 1905 lagi. Penggunaan turbo bertambah ketika ia digunakan pada pesawat pejuang ketika perang dunia kedua dan diadaptasi pada enjin kereta mulai tahun 1960an.

Antara kereta Jepun yang mula menggunakan tubo ialah Toyota Celica Supra keluaran 1980 yang menghasilkan 145 kuasa kuda daripada enjin 2000cc. Sebagai perbandingan, ketika itu enjin 2000cc NA hanya menghasilkan 110 kuasa kuda sahaja.

Menjelang pertengahan dekad 90an kereta berenjin turbo semakin kurang dihasilkan tetapi mulai digantikan dengan enjin Normal Aspirated, bersaiz besar jika pemilik mahukan prestasi enjin yang berkuasa. Tapi menjelang tahun 2002, kebanyakan pengeluar mula menggunakan enjin turbo bagi menggantikan enjin bersaiz besar

Jadi apa beza enjin turbo moden dengan enjin turbo prestasi tinggi yang diperkenalkan sekitar 1990an dulu

1. Tujuan yang berbeza – generasi kereta sport sedan seperti Mitsubishi Lancer Evo, Subaru Imprezza, Nissan Skyline dan Toyota Supra menggunakan enjin yang dipadankan dengan turbo dengan satu tujuan utama, iaitu meningkatkan keupayaan enjin tambah menambah bilangan silinder atau saiz enjin.

Ada enjin yang dipadankan dengan 2 turbo, satu untuk RPM rendah dan satu untuk RPM tinggi khusus untuk menjana kuasa yang besar daripada semua julat operasi enjin. Lebih power lebih bagus dan ketika ini aspek pelepasan karbon dioksida, pencemaran udara dan penggunaan bahan api tidak diambil berat

Enjin turbo moden pula adalah enjin bersaiz kecil, kerana pada awal tahun 2000 jurutera mendapati jika mereka mengecilkan saiz enjin maka mereka akan mudah melepasi peraturan pencemaran udara dan asap yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Masalahnya ialah, enjin bersaiz kecil ini menghasilkan tork dan kuasa yang amat rendah, terutama pada RPM rendah

Bagi mengatasi masalah tork rendah, ia akan dipadankan dengan turbo yang bersaiz kecil atau turbo skroll berkembar. Dengan ini enjin tadi akan menghasilkan tork yang tinggi pada RPM rendah ketika kereta mula bergerak. Secara teori, jika dipandu pada halaju yang ditetapkan, maka turbo akan digunakan dengan minimum.

Maka penggunaan bahan api adalah minimum serta mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida serta pencemaran asap. Kebanyakan enjin turbo moden memang ditala untuk mengurangkan pencemaran, bukannya prestasi. Kalau boleh kurangkan penggunaan bahan api tu bonus

2. 3 Silinder – disebabkan aspek enjin telah dikecilkan, maka menjadi kebiasaan pada kita untuk menemui enjin kecil antara 1000-1500cc yang menggunakan 3 silinder sahaja. Jika dulu hanya kei-car prestasi tinggi sahaja yang menggunakan enjin 3 silinder disebabkan aspek cukai.

Bagi kereta sport lain yang dibangunkan dulu, mereka akan menggunakan enjin 4 silinder sebaris, 6 silinder sebaris, V8 dan juga V10 yang dipadankan dengan turbo. Enjin turbo yang moden Honda City Turbo, Perodua Ativa, Nissan Almera dan juga Ford Fiesta semuanya menggunakan enjin 1000cc 3 silinder turbo.

Malah Proton X50 FS juga menggunakan enjin 1500cc 3 silinder turbo bagi menjana sekitar 175 kuasa kuda. Enjin 4 silinder turbo pula dikhaskan untuk kegunaan model yang lebih besar, segmen yang lebih mahal dan juga SUV. Contohnya enjin 1500cc Honda L15B turbo 4 silinder yang digunakan oleh Civic, Accord dan CR-V

3. CVT- jika dulu enjin turbo dipadankan dengan transmisi manual untuk pemanduan dan feel yang maksimum, enjin turbo moden biasanya dipadankan dengan transmisi automatik atau CVT yang ditala khas untuk memaksimakan penjimatan bahan api dan pemanduan yang mesra alam.

Bersyukurlah banyak-banyak kalau ada paddle shift di belakang stering tu.

4. Turbo – disebabkan masalah material yang digunakan, komponen turbo zaman dulu tidak boleh diharap sangat seperti turbo moden. Seperti yang kita tahu, turbo beroperasi pada suhu yang ekstrim dan persekitaran yang mengakis. Antara komponen yang mudah mengalami kerosakan ialah turbo pin itu sendiri selain masalah turbo lag

Bagi enjin turbo moden sekarang, kemajuan dalam sains material yang semakin baik membolehkan kaedah pembuatan serta bahan yang lebih berkualiti digunakan pada harga yang lebih berpatutan. Ditambah pula dengan kemajuan dan teknologi minyak pelincir yang semakin baik, maka unit turbo moden menjadi semakin lasak.

5. Petrol -bergantung pada tetapan boost dan pemasaan yang digunakan, kebanyakan enjin turbo dulu-dulu memang perlu mengggunakan RON 97 dan ke atas untuk memastikan enjin beroperasi dengan optimum. Bagi enjin ini, menggunakan RON yang rendah akan menyebabkan knocking berlaku, pemasaan enjin berubah dan enjin menghasilkan kurang kuasa. Silap haribulan enjin boleh rosak disebabkan masalah knocking

Bagi enjin turbo moden, masalah knocking diatasi dengan menggunakan sistem sejukan enjin yang jauh lebih canggih. Semakin sejuk enjin, semakin susah knocking untuk berlaku. Maka enjin turbo moden boleh menggunakan RON 95 dengan selamba. Di sesetengah negara, enjin turbo moden boleh beroperasi dengan RON 87 atau 88

Google ads
Back to top button