APA BEZA JAZZ DAN CITY HATCHBACK? KENAPA JAZZ TAK MASUK MALAYSIA?
Hairan juga kami kenapa Honda memperkenalkan Honda City Hatchback secara tiba-tiba dan pada masa yang sama terdapat beberapa berita mengatakan Honda Jazz generasi terbaru yang dipasarkan di Jepun dan Eropah tidak akan dijual di Asia Tenggara. Kenapa susah-susah buat di model yang berbeza untuk pasaran berbeza
Sejarah Asal Usul City/Jazz
Bagi menjawab persoalan ini, kita kena semak semula sejarah penghasilan kereta oleh Honda. Honda pada mulanya memperkenalkan model Civic sebagai model kompak dan Honda Accord bagi pilihan yang lebih besar. Accord berkembang menjadi sedan segmen D dan Civic berada dalam segmen C
Ia sebenarnya menghasilkan satu ruang kosong dalam pasaran kereta yang lebih kecil iaitu dalam segmen B. Jadi pada tahun 1981 Honda memperkenalkan Honda City generasi pertama yang merupakan sebuah kereta kompak 2 pintu dan generasi kedua muncul pada tahun 1986 dan ditamatkan pada tahun 1993.
Nama City muncul semula pada tahun 1996 namun ia dibangunkan oleh Honda Thailand khusus untuk sedan segmen B bagi pasaran Asia yang sedang pesat membangun. Cesi City ketika ini diambil dan diubahsuia dari cesi Honda Civic generasi ke 4. Berbeza dengan City generasi pertama dan kedua, generasi ketiga merupakan sedan sepenuhnya.
City dan Jazz adik beradik
Pada tahun 2001, Honda Jazz GD diperkenalkan di Jepun dengan rekaan yang lebih kompak dan ruang dalaman yang lebih luas. Cesi ini kemudian diambil oleh Honda Thailand bagi pembangunan Honda City GD generasi ke 4 (2002) atau bagi negara kita Honda City generasi kedua. Cesi antara Jazz dan City dikongsi sepenuhnya, malah jarak antara roda kekal 2450mm
Honda City ini kemudian dieksport ke Jepun dengan nama Honda Jazz/Fit Aria. Ia menjadi pilihan alternatif kepada pembeli yang mahukan sebuah kereta sedan versi Jazz. Masalahnya apabila berkongsi jarak antara roda yang sama, rekaan sedan akan jadi buruk seperti ruang bonet dikimpal pada sebuah kereta kompak. Nampak tak proportion
Jadi bila Jazz generasi kedua dan generasi dilancarkan, versi sedan iaitu Honda Jazz turut diperkenalkan tapi kali ini Honda dah pandai. Bagi menyelesaikan masalah punggung tonggek pada generasi pertama, versi sedan akan memiliki jarak antara roda yang lebih panjang berbanding dengan versi kompak. Sebagai contoh untuk generasi ke 3, jarak antara roda Jazz ialah 2530mm namun bagi Honda City (2014-2020) jarak antara roda menjadi 2600mm
Cuba cek Proton Iriz dan Proton Persona dan anda akan nampak kelemahan menggunakan cesi sama dengan jarak antara roda yang sama.
Lain padang, lain belalang
Sebenarnya antara sebab Honda dan Toyota menjadi pilihan utama di semua pasaran ialah kebolehan mereka untuk mengubahsuai produk mereka mengikut kehendak pasaran tempatan serta keperluan undang-undang di sana. Sebagai contoh pasaran di Jepun lebih selesa dengan rekaan comel-comel seperti Abam Beras.
Bagi pasaran Asia Tenggara, jenama Honda lebih disukai jika mereka memasarkan rekaan yang muda dan ranggi. Bagi pasaran China, pengguna di sana lebih sukakan enjin yang besar. Manakala bagi pasaran Eropah dengan kawalan emisi yang ketat, penggunaan teknologi hibrid dengan dua motor i-MMD adalah lebih sesuai.
Jadi jangan hairan jika Honda Jazz generasi ke 4 dipasarkan dengan pilihan enjin 1.3 L13B Earth Dream untuk Jepun, 1.5 L15B untuk China serta 1.5 LEB i-DCD atau 1.5 LEB i-MMD untuk Eropah. Mereka juga mendapati pasaran Eropah dan China boleh menerima rekaan Jepun yang comel-comel macam pau kukus tanpa masalah.
Honda City generasi 5 dan kemunculan Honda City Hatchback
Jadi untuk membangunkan Honda City generasi baru, Honda Thailand menggunakan cesi Honda City GM6 atau generasi ke 4 atau Jazz generasi ke 3. Penulis pernah melihat dengan mata sendiri beberapa bahagian Honda City baru dan memang pasti platform City generasi ke 5 sama dengan generasi ke 4. Tapi sudah tentu ia datang dengan beberapa pembaharuan. Apa yang pasti jarak antara roda kekal pada 2600mm
Disebabkan Jazz terbaru tiada kaitan dengan Honda City terbaru dan hanya akan dipasarkan di Eropah, Jepun dan China sahaja. Jadi Honda di Asia Tenggara akan kehilangan satu model ikonik dan ia perlu diganti dengan segera sebelum Toyota Yaris menjadi model terlaris tanpa saingan. Pilihan yang mudah ialah bangunkan sebuah model kompak berasaskan Honda City, kerat bahagian bonet dan jadikan ia imej sporti
Untuk pilihan enjin, kami menjangkakan ia akan dikuasakan dengan enjin 1500cc DOHC i-VTEC atau 1500cc i-MMD sama seperti Honda City. Bagi pasaran Thailand pula, ia dipadankan dengan enjin 3 silinder 1000cc turbo yang menghasilkan 120 kuasa kuda.
Kes ini sama seperti Daihatsu memberikan Perodua kebebasan untuk menghasilkan Myvi generasi baru DN20 yang tiada kaitan dengan model JDM serta Bezza yang diasaskan dari model Axia.
Jadi untuk kekal relevan dalam satu pasaran yang khusus, Honda perlu menghasilkan produk yang berbeza, dengan pendekatan trenkuasa serta rekaan yang berbeza. Tapi Honda tetap membekalkan teknologi terkini dari segi trenkuasa dan Honda Sensing.
Kalau Honda City Hatchback tak dihasilkan secepat mungkin, maka Toyota Yaris senyum lebar sampai telinga. Myvi pula tiada saingan untuk berebut lorong kanan di lebuhraya, sunyi nanti.