Buletin

AUDI Q5 SPORTBACK, SQ5 SPORTBACK MASUK PASARAN EROPAH

Audi melancarkan model Q5 Sportback 2021 di Eropah dalam memberi saingan kepada BMW X4 dan GLC Coupe.

Perbezaan ketara dapat dilihat pada jentera terbaharu ini berbanding Audi Q5 2021 tentu sekali pada rekaan badan yang mengetengahkan garis bumbung lebih landai.

Ia sekali gus mengecilkan ruang atas tempat duduk belakang sebanyak 16 mm dan simpanan bonet mampu menampung dengan kapasiti 40 liter.

Dengan rekaan luaran baharu, Audi Q5 Sportback menawarkan koefisien drag sebanyak 0.30 dan pilihan tempat duduk belakang yang boleh dilaras serta dialihkan secara sisi mengikut keselesaan penumpang.

Pasaran Eropah ditawarkan dengan tiga pilihan enjin.

Enjin tersebut merupakan 2.0 liter TDI yang menjana kuasa 201 hp dan tork 400 Nm dipadankan sistem hibrid berkuasa 12 volt.

Dua lagi enjin yang boleh dipilih para pembeli ialah 3.0 liter TDI dengan hamburan kuasa 282 hp dan tork 620 Nm digabungkan sistem hibrid 48 volt manakala 2.0 liter TFSI petrol didatangkan kuasa 261 hp serta tork 370 Nm.  

Model paling berkuasa 3.0 liter TDI didatangkan transmisi lapan kelajuan berbanding tujuh kelajuan klac berkembar pada dua lagi model berkenaan serta sistem pacuan semua roda Quattro.

Audi dijangka akan menawarkan varian kedua bagi model enjin 2.0 liter TDI dalam masa beberapa bulan lagi.

Selain itu, pengeluar kereta ini akan memberi pilihan kepada para pelanggan memilih Suspensi Udara Suai (Adaptive Air Suspension) berbanding setup standard dengan damper adaptif.

Suspensi Udara berkenaan boleh menyesuaikan ketinggian perjalanan dengan 60 mm dan meningkatkan jarak tanah dari kenderaan sebanyak 45 mm.

Pada kelajuan tinggi, ia dapat membantu merendahkan badan jentera sebanyak 15 mm manakala berada pada kedudukan 55 mm apabila parkir.

Ruang dalaman pula tidak banyak perbezaan berbanding model Q5 standard edisi business yang dilengkapi sistem infotainmen MIB generasi ketiga.

Ia turut hadir dengan paparan skrin sesentuh 10 inci digabungkan bersama kluster instrumen digital. Sistem tersebut boleh beroperasi menggunakan kawalan suara.

Selain daripada model Q5 Sportback, Audi turut memperkenalkan SQ5 Sportback yang mendapat khidmat enjin 3.0 liter TDI sama seperti SQ5 yang mampu menjana kuasa 336 hp dan tork 700 Nm.

Ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat manakala kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

Model Q5 Sportback dan SQ5 Sportback terbaharu ini dijangka akan menemui para pelanggan pada tahun hadapan. – carscoops  

Google ads
Back to top button