Artikel Pilihan

APA FUNGSI PLASTIK YANG DIBAWAH BAMPAR KERETA NI? DR. AID FAWZAL TERANGKAN.

Sewaktu masih lagi bekerja kira-kira 10 tahun lepas dan pelancaran Myvi Lagi Best dahulu, penulis perasan terdapat sekeping plastik berwarna hitam yang dipasang di bawah bampar depan kereta. Puas penulis bertanyakan kepada rakan-rakan sekerja, apakah fungsi sebenar plastik hitam ini namun tiada jawapan yang memuaskan diterima

Beberapa hari lepas, penulis mengemukakan soalan yang sama kepada rakan penulis iaitu Dr. Aid Fawzal berkenaan isu ini. Kali ini subjek perbincangan ialah plastik hitam yang sama tapi dipasang pada model Perodua Axia.

Menurut Dr Aid Fawzal, komponen plastik ini dinamakan sebagai Wind Deflector yang dipasang khas pada mana-mana model kereta biasa yang tidak dipasang dengan penutup di bahagian bawah ruang enjin. Wind Deflector ini akan dipasang secara melimtang di bahagian bawah bampar depan kereta

Menurut Dr Aid Fawzal lagi, jika kereta dipasang dengan penutup enjin di bahagian bawah Wind Deflector hanya akan dipasang di bahagian depan di kiri dan kanan sahaja dimana lokasi tayar depan berada.

Antara fungsi-fungsi Wind Deflector ini termasuklah:

1. untuk mengelakkan angin daripada memasuki ruang enjin dari bahagian bawah. Sekiranya tidak dipasang dengan Wind Deflector, angin akan memasuki ruang enjin dari bahagian bawah yang tidak dipasang dengan penutup dan seterusnya memenuhi ruang enjin.

Sekiranya berlaku kejadian ini, kuantiti angin yang memasuki ruang enjin dari arah jeriji depan akan berkurang disebabkan kehadiran angin yang masuk dari arah bawah (skiranya tiada Wind Deflector). Keadaan ini akan mengurangkan prestasi sejukan untuk komponen radiator dan juga kondenser penyaman udara.

2. Aerodinamik – angin yang masuk ke dalam ruang enjin dari arah bawah ini akan mengganggu aerodinamik kereta kerana angin tadi akan melalui halangan pada ruang dalam enjin. Secara tidak langsung ia akan mengganggu faktor penggunaan bahan api

3. Wind Deflector ini tadi akan membantu aliran udara panas keluar dari ruang enjin dengan lebih baik. Dengan kewujudan Wind Deflector ini, angin yang masuk melalui jeriji di bahagian depan akan keluar dari engine bay dengan mudah di bahagian bawah.

Tambah Dr. Aid Fawzal lagi, kebanyakan kereta mahal dan prestasi tinggi akan dipasang dengan plastik oenutup di bahagian bawah ruang enjin. Penutup ruang bawah enjin ini juga direka dengan pelbagai ciri dan fungsi.

Ada yang membenarkan angin masuk sedikit dari arah bawah, ada yang membenarkan udara panas keluar sedikit dari bawah dan juga ada yang direka supaya ditutup sepenuhnya.

Dalam satu lagi hantaran asal di SINI Dr Aid Fawzal turut menerangkan bagaimana Wind Deflector atau Pemesong Angin digunakan untuk mengurangkan seretan angin di bahagian tayar depan atau dalam sesetengah kes pada semua tayar kereta.

Siri Aerodinamik Kenderaan no.7c

======================

Rakan kita Mohamad Adib Yunus kata beliau kurang faham macam mana aliran pemesong angin pada tayar yang saya ceritakan sebelum ni. Untuk fahamkan hal pemesong tayar ni, jom kita fahami apa rupa angin yang lalu pada tayar.

Dibawah saya sediakan beberapa gambar untuk bantu pemahaman.

Bayangkan satu tayar pada kenderaan yang sedang bergerak kedepan. Ia menempuh angin dan dalam masa yang sama tayar ni bergolek melawan arah angin tu. Gambar 1 tunjukkan macam mana arah golekan tayar dan kemungkinan pergerakan angin pada tayar. Gambar 1 kiri angin datang tempuh tayar, gambar 1 kanan keadaan angin setelah melepasi tayar.

Pergerakan yang bermacam² rupa bentuk ni lah yang akan mengingkatkan drag (seretan) pada satu² badan bergerak.

——

Jadi antara cara penyelesaian untuk kurangkan drag ni tadi, jurutera kenderaan meletakkan pemesong angin di depan tayar tersebut.

Kalau Ferrari dan Porsche guna saluran angin untuk memesongkan angin, kenderaan hari ni gunakan konsep yang lebih mudah. Tengok gambar ke 2. Kebanyakan kereta moden sekarang ada plat di depan tayar. Ada yang hanya ada pada tayar hadapan sahaja, ada kereta yang ada plat pemesong angin pada ke empat-empat tayar.

Cuba tengok kereta korang. Ade tak?

Dr Aid Fawzal

Middlesbrough UK

[Gambar 1] C. Byrne, 1998, Aerodynamics of Road Vehicles – 4th edition (Warrendale: W-H. Hucho SAE International)

*Antara sebab Ferrari dan Porches maju kedepan dalam memahami seni angin ini kerana mereka aktif dalam dunia permotoran/motorsports. Sebab tu lah Malaysia patut untuk angkat industri ini juga.

Untuk mengikuti perkembangan dunia teknologi dan automotif terkini, anda boleh mengikuti laman Facebook Dr. Aid Fawzal di SINI.

Google ads
Back to top button