Buletin

MASERATI PROJECT24 – MC20 VERSI KEGUNAAN LITAR, 740 HP, 62 UNIT SAHAJA

Tidak pun lagi wujud dalam dunia sebenar, akan tetapi Maserati memperlihatkan sebuah projek terbaharu menggunakan asas daripada model MC20 menerusi imej janaan komputer yang digelar Maserati Project24.

Hanya 62 unit sahaja yang akan diproduksikan, dan kesemua unit ini hanyalah halal digunakan di atas litar lumba sahaja.

Project24 menampilkan enjin Nettuno bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan output 740 hp (berbanding 621 hp pada model jalanan), dipadankan dengan kotak gear sekuential enam nisbah kelajuan.

Untuk kegunaan di dalam litar, Project24 ini dilengkapi dengan peredam boleh laras, bar anti-oleng, sistem brek seramik Brembo, dan rim kekunci tengah bersaiz 18 inci.

Penampilan Project24 ini ternyata amat berlainan daripada MC20, di mana ia kini tidak lagi menampilkan unit lampu utama bagi menjadikan rupa paras depan yang lebih bersih, diikuti dengan sistem aerodinamik yang telah ditala untuk kegunaan dalam litar.

Posisi paip ekzos juga telah dialihkan sedikit tinggi bagi memberikan laluan kepada komponen diffuser yang lebih besar.

Para jurutera Maserati menyasarkan berat Project24 ini adalah sekitar 1,250 kg, jauh lebih ringan berbanding jentera jalanan seberat 1,500 kg.

Untuk ruang kabin, ia telah diringkaskan penawarannya dan dilengkapi dengan sangkar keselamatan spesifikasi FIA, alat pemadam kebakaran, sistem abah-abah enam poin, serta roda stereng gentian karbon.

Tidak cukup dengan itu, terdapat naik taraf yang membolehkan pembeli menambah tempat duduk penumpang, kamera undur, sistem rakaman telemetri, paparan prestasi pemanduan, serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Setiap pembeli juga akan diberikan akses kepada acara litar dengan sokongan penuh daripada Maserati.

Google ads
Back to top button