
ARAB SAUDI ARAH ARAMCO KURANGKAN PRODUKSI MINYAK KEPADA 7.5 JUTA TONG SEHARI
Arab Saudi semalam meminta syarikat minyak gergasi, Aramco untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak sejuta tong sehari bermula Jun depan bagi menyokong harga minyak yang jatuh ketika krisis COVID-19.
Saudi Press Agency yang memetik kenyataan Kementerian Tenaga melaporkan, langkah itu dapat mengurangkan pengeluaran negara pengeksport minyak terbesar di dunia itu kepada 7.5 juta tong sehari.
Bulan lalu, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, OPEC+ mencapai kata sepakat untuk mengurangkan pengeluaran minyak kepada 9.7 juta tong sehari. Sementara pengeluar lain bersetuju mengambil langkah sama yang menyaksikan pengurangan kepada kira-kira 3.7 juta tong sehari.
Di bawah perjanjian itu, pengeluaran minyak harian Saudi juga dikurangkan kepada 8.5 juta tong sehari pada paras terendah dalam tempoh lebih sedekad.
“Pemotongan tambahan ini bagi merangsang negara dalam OPEC+ dan negara pengeluar lain untuk mematuhi langkah untuk melakukan pengurangan tambahan dalam usaha menyokong kestabilan pasaran minyak global,” ujar Kementerian Tenaga Arab Saudi.
Langkah menyekat pengeluaran terbaharu itu akan membolehkan Riyadh mengurangkan sehingga 4.8 juta tong sehari daripada tingkat rekod keluaran pada bulan lalu.
Walaupun terdapat pemotongan besar-besaran yang berkuat kuasa pada 1 Mei lalu, harga minyak kekal rendah dan kehilangan kira-kira dua pertiga nilainya pada tahun ini akibat kekurangan permintaan disebabkan wabak Covid-19.
Ketika ini, harga penanda aras antarabangsa, Brent diapung pada harga kira-kira AS$30 (RM130) setong. – AFP
- BACA: BILIONAIR MINYAK SINGAPURA FAIL BANKRAP. LIABILITI CECAH RM17.4 BILION
- BACA: JUAL TUDUNG DI STESEN MINYAK UNTUK BELI SUSU DAN PAMPERS ANAK
- BACA: KEJATUHAN TERUK HARGA MINYAK DUNIA, ARAB SAUDI ‘MENANG’. INI SEBABNYA…
- BACA: PAM MINYAK MUNGKIN KERING SELEPAS PKP. KERAJAAN WAJAR HENTIKAN SEMENTARA PENETAPAN HARGA MINGGUAN – PDAM