Buletin

ASTON MARTIN DB11 – RM2 JUTA!

Jenama automotif mewah dari Britain, Aston Martin kini kembali ke Malaysia dengan kerjasama pengedar baharu, Wearnes. Sempena jalinan usaha sama berkenaan, Aston Martin Kuala Lumpur membuka bilik pameran terbaharunya bertempat di bangunan Etiqa Twins, Jalan Pinang.

Aston-Martin-DB11-Malaysia-2016-mekanika (5)

Bagi meraikan kerjasama itu, Aston Martin Malaysia telah memperkenalkan DB11 buat pertama kalinya ke pasaran tempatan.

“Malaysia merupakan pasaran penting bagi kami di rantau ini. Pelaburan terbaharu oleh Wearnes di Kuala Lumpur menjadi petunjuk kepada kepada perkembangan dan kedudukan kukuh jenama ini di Asia,” jelas Presiden Aston Martin Asia Pasifik, Patrick Nilsson.

Aston-Martin-DB11-Malaysia-2016-mekanika (4)

Penampilan Aston Martin DB11 kelihatan cukup menyerlah dengan lampu hadapan LED dan gril Aston Martin yang ikonik. Profil jentera berkenaan juga cukup dramatik dengan garis badan atletik yang aerodinamik.

Ia membuat kemunculan sulung pada Mac lalu di acara Geneva Motor Show 2016. Model paling berkuasa yang pernah dihasilkan oleh Aston Martin itu dijana enjin baharu 5.2 liter V12 pengecas turbo berkembar.

Aston-Martin-DB11-Malaysia-2016-mekanika (2)

Enjin itu mampu menjana kuasa maksimum 608PS dan tork setinggi 700Nm. Ini membolehkan DB11 mencapai kelajuan maksimum 322km/j dan memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 3.9 saat. Dengan adanya teknologi stop-start dan intelligent bank activation, kecekapan bahan api DB11 dapat ditingkatkan.

Sejak pengenalan DB9 pada 2003, versi terbaharu jentera DB kini lebih jimat dan dinamik.  Bagi menggunakan sebaiknya struktur badan baharu dan memanfaatkan prestasi enjin V12, Aston Martin menerapkan teknologi baharu pada bahagian casis, suspensi, stereng dan elektronik DB11.

Aston-Martin-DB11-Malaysia-2016-mekanika (1)

Pilihan mod pemanduan dinamik seperti GT, Sport dan Sport Plus jelas meningkatkan maklum balas enjin dan transmisi ZF 8 kelajuan. Gabungan stereng berkuasa elektrik baharu dan Tork Vectoring mmbuatkan pengendalian jentera itu bertambah lincah.

Pendek kata, DB11 menggabungkan keselesaan pengendalian dan ketangkasan kereta sports yang sebenar.

Aston-Martin-DB11-Malaysia-2016-mekanika (7)

Sebagai model abad ke-21 Aston Martin, DB11 dilengkapi teknologi terkini hasil kerjasama dengan rakan kongsi teknikalnya, Daimler AG. Masuk ke kabin, DB11 menerima paparan TFT LCD 12 inci. Kluster peralatan serba baharu itu memaparkan informasi utama kenderaan.

Manakala, skrin TFT 8-inci di konsol tengah khusus buat hiburan. Ia boleh dikawal menerusi kawalan rotary intuitif dengan pilihan pad sentuh yang menawarkan pengecaman karakter, sentuhan pelbagai dan sokongan gerak isyarat. Ini menjadikan kawalan navigasi satelit dan sistem audio lebih efektif.

Aston-Martin-DB11-Malaysia-2016-mekanika (6)

DB11 turut dipasang dengan ciri bantuan parkir dan paparan kamera 360 darjah yang membantu pengendalian ketika kelajuan rendah. Aston Martin menawarkan ciri ISOFIX pada kerusi penumpang belakang.

Harga jualan DB11 bermula RM2 juta (termasuk GST) seunit.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button