Artikel Pilihan

ASTON MARTIN V8 VANTAGE MUNCUL DALAM JOHNNY ENGLISH TERBAHARU

Filem dan kereta sememangnya sangat berkait rapat. Ibarat aur dengan tebing. Kadang kala, ianya boleh dijadikan sebagai daya penarik selain daripada hero dan heroin. Baru – baru ini Brader Karrager telah berpeluang untuk menonton sekuel filem parodi perisik terkemuka British yang baharu, Johhny English – Strikes Again.

BACA : ASTON MARTIN UNTUNG BUAT PERTAMA KALI DALAM 10 TAHUN – TERIMA KASIH CHINA

BACA : ASTON MARTIN DB9

Berbanding trilogi sebelum ini yang pernah menampilkan kereta Aston Martin DB7 Vantage dan Rolls- Royce Phantom Coupe yang lebih moden dan dilengkapi dengan kelengkapan canggih, Untuk sekuel ketiga ini, watak Johnny English yang dilakonkan Rowan Atkinson hanya memandu Aston Martin V8 Vantage keluaran tahun 1977. Menariknya tentang model Aston Martin V8 Vantage ini sebetulnya turut pernah membintangi filem perisik epik British, James Bond – The Living Daylights.

Untuk kali ini, digambarkan watak Ejen Perisik Johnny English berdepan dengan serangan siber yang telah menyerang Ibu Pejabat MI7 dan kota London. Dan sebagai usaha mengekang jenayah siber, Johnny English telah memutuskan untuk menggunakan cara old school, termasuklah pemilihan kereta Aston Martin ini berbanding model kereta terkini dan juga peranti moden. Katanya, benda moden sebegini membuatkankan musuh mudah mengesan lokasi. Ironinya memang ada kebenaran di situ.

Aston Martin V8 Vantage ini sebetulnya diproduksikan pada tahun 1977 dan telah diperkenalkan sebagai British First Super Car atau pun ada yang memanggilnya dengan nama British Muscle Car. Sekali imbas serupa Ford Mustang. Terutamanya pada bahagian hadapan. Kan? Kan?

Ianya menggunakan enjin 5.3 liter V8 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 390hp. Ianya mampu memecut dari titik pegun sehingga ke meter mencecah lebih kurang 100km/j dalam tempoh 5.3 saat sahaja. Perlahan sikit aja daripada Ferrari Daytona. Cukup laju dan handal di kala itu.

Dan untuk kegunaan Ejen Perisik, Aston Martin Johnny English ini turut dilengkapi dengan misil yang boleh dilancarkan dari hud hadapan untuk menembak musuh yang menghalang. Lain – lain kelengkapan canggih memang tidak diperincikan kerana ianya digambarkan sebagai sebuah kereta klasik yang pernah digunakan oleh Ejen Perisik era terdahulu. GPS apa pun takda. Yang ada hanyalah Pemain Kaset sahaja.

Kalau hangpa rindukan watak Mr Bean dan dalam yang sama meminati kereta, barangkali masih boleh layan cerita ringan sebegini. Berapa bintang Brader Karrage nak kasi? Jangan kata bintang, bulan pun belum tentu Brader Karrager nak kasi. Haih!

Google ads

B K

Back to top button