Pandu Uji

ASTON MARTIN DB9

Pembuat kereta mewah dari Britain, Aston Martin sememangnya sudah lama dikenali terutama selepas penglibatan aktif dalam filem blockbuster seperti James Bond sejak sekian lama. 

Sejak pengenalan pertamanya pada tahun 1994, Aston Martin DB9 disifatkan sebagai model paling berkuasa pernah dikeluarkan oleh Aston Martin. Malah, kehadiran kereta sport GT Britain itu dilihat mampu mengukuhkan lagi posisinya selaku peneraju dalam segmen sport mewah.

DB9 dikuasakan oleh unit enjin AM11 V12. Enjin aloi sepenuhnya bersesaran 6.0 liter itu mampu menjana kuasa sehingga 510hp @ 6,500rpm dan tork puncak mencecah 620Nm @ 5,500. Dari segi prestasi pula, jentera tersebut mampu memecut dari 0 hingge ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh cuma 4.6 saat. Kelajuan maksimanya pula adalah 295km/j! Penambahbaikan bukan sahaja dilakukan pada aspek prestasi, kadar emisinya juga dikurangkan berbanding enjin terdahulu.

garaj - aston martin (2)

Dengan penggunaan sekitar 60 peratus panel badan baharu, model sport GT itu juga sarat dengan teknologi dan kejuruteraan termaju Aston Martin. Ini membolehkannya mengekalkan statusnya sebagai model utama keluaran Aston Martin.

Chasisnya kini lebih tegar berbanding model sebelum ini. Ia dapat dicapai selepas jurutera Aston Martin menggunakan struktur kerangka VH dan menjadikannya lebih baik. Struktur kerangka yang kukuh bukan sahaja memberi perlindungan kepada pemandu dan penumpangnya, malah membuatkan kawalan stereng menjadi lebih jitu.

Di pasaran tempatan, DB9 ditawarkan oleh pengimport dan pengedar sahnya, Jelita Seleksi Sdn. Bhd., (Jelita Seleksi). Tanda harga jentera itu bermula pada RM1.7 juta seunit. Namun, harga itu boleh meningkat bergantung kepada tambahan aksesori yang dimahukan pelanggan.

garaj - Aston matin lg

Sempena pelancaran DB9 itu, Pengarah Eksekutif Aston Martin Kuala Lumpur, Nazrul Mohtar yakin bahawa Malaysia mampu menjadi pasaran utama untuk jenama mewah tersebut di rantau Asia Tenggara.

“Permintaan terhadap kereta mewah di sini adalah positif. Ia didorong oleh ekonomi negara yang positif dan peningkatan kuasa membeli pengguna,” kata Nazrul yang enggan mendedahkan berapa unit Aston Martin telah terjual di Malaysia.

Penggunaan komponen-komponen baharu nyata menjadikan DB9 semakin istimewa. Sistem brek misalnya, mengguna cakera Matriks Seramik Karbon (CCM) dan angkupnya pula disediakan oleh pakar pembuat brek global, Brembo.

garaj - aston martin (3)
Sistem brek itu menawarkan prestasi brek mengagumkan. Sekali gus memberi keyakinan kepada pemandu untuk memberhentikan kenderaan dengan yakin dan selamat.

DB9 dipasang dengan sistem suspensi termaju generasi keempat buatan Aston Martin yang dikenali sebagai Adaptive Damping System (ADS). ADS telah dijuruterakan semula bagi membolehkan pemandu memilih tiga mode suspensi iaitu Normal, Sport dan Trek.

Pada mode Normal, peredam ditala agar dapat memberikan pemanduan selesa. Talaan akan dibuat secara elektronik yang menyesuaikan input daripada pemandu, kelajuan dan kualiti permukaan jalan.

garaj - Aston martin DB9

Mode Sport pula menyaksikan talaan suspensi lebih fokus bagi memberikan kualiti pemanduan yang dinamik. Sementara talaan suspensi paling keras berlaku apabila pemandu memilih mode Trek.

Penampilan luaran DB9 mengambil inspirasi daripada model Aston Martin GT klasik. Ia mengekalkan garis tubuh yang maskulin tanpa lekukan berlebihan. Tubuhnya yang rendah dan lebar pula seakan-akan memberi jaminan kepada pemandu bahawa ia menawarkan tahap kestabilan terbaik ketika dipandu laju. Bahagian belakangnya pula menyerlah menerusi rekaan but flip yang dikatakan berfungsi meningkatkan prestasi aerodinamik kereta.

DB9 Badge Detail

DB9 turut mematuhi piawaian perlindungan pejalan kaki terkini Eropah. Aspek itu berjaya direalisasikan tanpa mengorbankan nilai estetik rekaan luarannya. Bagi mencapai matlamat tersebut, pasukan jurutera Aston Martin telah melakukan pengubahsuian pada struktur bahagian bawah jentera. Ini termasuklah merendahkan kedudukan enjin, penggunaan bonet, binaan bampar hadapan dan acuan gril yang baharu.

Penyelesaian itu membuktikan bahawa Aston Martin berjaya mengelak daripada menggunakan cara konvensional seperti penggunaan gril plastik dan banyak lagi.

“Enjin AM11 V12 yang baharu dan rekaan bahagian hadapan unik untuk perlindungan pejalan kaki menjadi contoh jelas mengenai kecanggihan teknologi yang menjadikan Aston Martin pembuat kereta sports paling diminati di dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Aston Martin, Dr. Ulrich Bez.

garaj - Aston martin DB9 (1)

Menjengah ke ruang kabin, DB9 sekali lagi tidak mengecewakan peminatnya dengan ambien yang elegan dan mewah. Selain penggunaan material berkualiti tinggi, perincian teliti juga dapat dilihat dengan jelas.

Misalnya, ruang kokpit DB9 dibalut dengan kemasan kulit. Manakala suis-suis kawalannya diperbuat daripada gelas yang kelihatan seperti permata. Ketelitian semua perkara di ruang dalaman itu jelas membuktikan komitmen Aston Martin untuk menggunakan material tulen dan bernilai tinggi.

garaj - DB9 xtra

“Kami sangat teruja kerana mampu memulakan sambutan ulang tahun ke-100 Aston Martin menerusi pelancaran DB9 baharu ke pasaran Malaysia. Model ikonik ini merupakan contoh jelas terhadap kekayaan warisan Aston Martin yang kemudiannya digabungkan dengan teknologi tercanggih.

“Ini membolehkannya untuk terus hidup untuk 100 tahun lagi. Para pemilik dan peminat jentera Aston Martin pastinya mengagumi model elegan yang tidak dimakan zaman ini yang ditawarkan secara terus oleh Aston Martin Kuala Lumpur,” tambah Nazrul.

Selain DB9, Aston Martin Kuala Lumpur turut menawarkan varian Aston Martin yang lain seperti Super Grand Tourer Vanquish, rangkaian model Vantage dan kereta sport empat pintu paling cantik di dunia, Rapide.

[hr] 

Galeri

Aston Martin DB9 BackDB9 2Aston Martin DB9 CoupeDB9 3DB9 7DB9 Coupe Detail - SideDB9 Coupe Interior DetailDB9 Coupe DetailDB9 Volante - Sidegaraj - aston martingaraj - cover aston martin

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button