Buletin

NISSAN NOTE e-POWER NISMO S – 25% LEBIH KUASA, EKSKLUSIF UNTUK PASARAN JEPUN SAHAJA

Nissan baru-baru ini memperkenalkan model Note e-Power Nismo S yang eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja. 

Nissan sebenarnya pernah melancarkan Note e-Power pada Disember 2016. Memandangkan permintaan yang cukup menggalakkan, versi lebih laju kini dilancarkan.

Jika dilihat kepada kedua-duanya, hanya perubahan kecil dibuat. Perubahan ketara lebih kepada aspek mekanikal dan naik taraf perisian.

Pengeluar berpengaruh dari Jepun itu kini melengkapkan Note e-Power Nismo S dengan talaan khas pada inverter dan modul kawalan kenderaan. Ini meningkatkan lagi ouput bekalan elektrik dan menambah baik aspek jarak perjalanan.

Penambahbaikan ini membolehkan jentera tersebut 25 peratus lebih kuasa dan tork berbanding model Nismo standard. Jadi, Note e-Power Nismo S mampu menawarkan 134hp dan tork 320Nm daripada rangkaian kuasa hibridnya.

Dengan angka tersebut, ia dikatakan berupaya memecut dari 0-100km/j dalam masa 10 saat.

Mengambil teknologi daripada kereta elektrik Nissan LEAF, enjin petrol tiga silinder 1.2 liter yang ada pada Note e-Power tidak menggerakkan roda.

Sebaliknya ia bertindak sebagai generator, di mana tenaga elektrik yang dihasilkannya disimpan di dalam sebuah nateri yang lebih ringan dan murah berbanding bateri pada sebuah kereta elektrik.

Dari segi penampilan, Note e-Power Nismo S menerima bampar hadapan baharu, paip ekzos, suspensi khas, bar penstabil hadapan yang telah diperkukuhkan dan struktur lebih tegar.

Tidak ketinggalan, stereng kuasa berasaskan kepada kelajuan, rim aluminium bersaiz 16 inci, tayar Yokohama DNA S, tempat duduk sports dibalut kulit suede, pedal brek minyak, serta perehat kaki aluminium.

Harganya bagaimanapun masih belum diumumkan. Sebagai perbandingan, Note e-Power NISMO bermula pada harga 1.79 juta Yen (RM65,700) seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button