Buletin

AUDI Q2 – 1.4L TSI, 5 MODE PEMANDUAN, RM219,900 SEUNIT

Audi Malaysia hari ini memperkenalkan barisan model SUV ke pasaran tempatan.

Pelancaran Audi Q2, Q5, Q7 dan Q8 itu dilihat dapat memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mahukan sebuah SUV premium dari Jerman.  

Kita ulas pasal Audi Q2 dulu. Sedia maklum bahawa Audi Q2 ialah SUV paling kecil dalam keluarga Q Audi. Menjadi model serba baharu, ia menjadi pesaing langsung kepada model-model seperti BMW X1, Mercedes-Benz GLA dan Lexus UX.

Jika berminat, jentera itu boleh anda miliki pada harga RM219,900 (tidak termasuk insurans).

Enjin 1.4 TSI

Q2 untuk pasaran Malaysia dilengkapi enjin 1.4 TFSI berkuasa 150hp dengan ciri nyahaktif selinder COD (cylinder on demand).

Sistem COD berfungsi menyahaktifkan silinder kedua dan ketiga pada beban sehingga 100Nm dan ketika bergerak dalam kelajuan enjin antara 1,400 hingga 3,200rpm.

Enjin yang turut digunakan pada SUV Volkswagen Tiguan generasi kedua itu dipadankan dengan transmisi klac berkembar S tronic tujuh kelajuan.

Hasilnya, rangkaian kuasa tersebut dapat menawarkan penjimatan bahan api sekitar 5.2 liter bagi setiap100km dan emisi 119 g/km.  

Pemandu boleh memilih di antara lima mod pemanduan iaitu Auto, Comfort, Dynamic, Efficiency dan Individual. Mode itu dibezakan menerusi pelarasan pada maklum balas stereng, penukaran gear, pilihan kawalan suspensi dan penyerap hentak adaptif.

Dengan mod ESC off-road dan jarak kelegaan tanah mencecah 15cm, Q2 tidak kekok untuk meredah permukaan jalan yang mencabar.

Pengendalian mantap

Peluang memandu dari Bentong menuju ke Genting Highlands melalui jalan lama yang bengkang-bengkok sedikit sebanyak membolehkan saya mengenali karekter crossover ini.

Saya perlu akui bahawa saya lebih enjoy memandu Q2 berbanding Q5 yang lebih besar. Pengendaliannya mantap, kuasa enjin juga dapat dirasai serta-merta tanpa banyak kerenah.

Mengambil selekoh pada kelajuan tinggi juga cukup meyakinkan. Tahap olengan tubuhnya minumum, sekali gus membuatkan pemanduan Q2 cukup menyeronokkan.

Dari segi rekaan Q2 mengekalkan DNA reka bentuk SUV Audi yang lain. Bahagian hadapan diserlahkan oleh gril bingkai tunggal berbentuk oktagonal dan corong pengambilan udar yang besar.

Rekaan mantap itu diteruskan dengan garis bumbung rendah yang bertemu pada tiang C dalam warna kontras. Bahagian belakang pula hadir dengan bentuk lampu empat segi, spoiler dan peresap udara di bawahnya.  

Seperti dijangka, ruang kabin Q2 hadir dengan susun letak yang ringkas dan minimalis. Bahagian atas papan pemuka dipasang dengan paparan skrin bersaiz 5 inci.

Biarpun kecil, ia menawarkan tempat duduk yang agak luas untuk lima orang penumpang. Ruang kargo berkapasitu 405 liter itu boleh ditingkatkan menjadi 1,050 liter apabila tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya.

Gaya individu

Audi Genuine Accessories pemasangan dari kilang atau kelengkapan berasingan yang dikeluarkan oleh rakan niaga Audi memberi pilihan yang luas untuk pemilik Q2 mengubah suai penampilan SUV ini.

Penambahan kemasan karbon, pakej gayaan off-road serta rekaan pelekat pada bahagian badan SUV ada ditawarkan.

Pemilik juga boleh mengubah ruang dalaman mengikut selera peribadi. Warna seperti kuning, jingga dan merah boleh dipilih untuk perincian kemasan tertentu, bahagian pada kerusi serta jahitan warna kontras.

Kemasan tersebut hadir dalam material plastik putih atau aluminium. Pilihan untuk balutan kerusi juga terdiri daripada fabrik berkualiti tinggi dan kulit Nappa.

Maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Audi Malaysia: http://www.audi.com.my/sea/web/my.html.

Google ads
Back to top button