Buletin

AUDI Q8 E-TRON DI HOP SINGAPURA. EV YANG WAJIB ADA DALAM SENARAI ANDA

Selain grandsphere concept, Audi turut mempamerkan beberapa model elektrik sepenuhnya (EV) pada acara House of Progress (HoP) yang sedang berlangsung sekarang hingga 16 April depan di ArtScience Museum, Marina Bay Singapura.

Antaranya termasuklah Audi e-tron GT, Audi RS e-tron GT, Audi R8 serta dua model baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi di republik berkenaan iaitu Q8 e-tron dan Q4 e-tron. 

Q8 e-tron nyata menarik minat saya. Ini kerana seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) atau Audi Malaysia sudah pun membuka tempahan untuk model tersebut, selain Sportback, e-tron GT quattro dan RS e-tron GT.

Kalau dah ambil tempahan, tentulah jentera itu akan dilancarkan di sini tidak lama lagi.

Selepas lebih sebulan, Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter memberitahu pihaknya sudah menerima tempahan sebanyak tiga angka setakat ini. 

Berbalik kepada Q8 e-tron, perkara pertama yang saya perasan ialah suv elektrik itu bukanlah sebesar atau selebar Q8 versi petrol. Tetapi, saiznya adalah sedikit besar berbanding Q5. Reka bentuk luarannya juga tidaklah agresif seperti Q8 original. 

Walaupun nampak besar, SUV berkenaan masih mampu menawarkan tahap pekali seretan cuma 0.27. Ia menjadi model pertama yang menggunakan logo baharu Audi dua dimensi dan perkataan Audi diukir pada tiang B. 

Untuk pasaran Malaysia, Q8 e-tron bakal ditawarkan dalam dua varian iaitu 50 dan 55. Model yang dipamerkan di HoP ialah versi 50 yang hadir dengan spesifikasi motor berkuasa 340PS dan tork 66Nm. 

Kuasa tersebut disalurkan ke roda menerusi transmisi gear tunggal dua peringkat ke sistem pacuan semua roda yang membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya enam saat. Pek bateri berkapasiti 95kWh menawarkan jarak sehingga 410km dengan sekali caj penuh. 

Jika menggunakan pengecasan wallbox, Q8 e-tron mampu menerima aliran elektrik sehingga 11kW. 

Bahagian luarannya diserlahkan dengan sepasang lampu utama Matrix LED nipis, kit berwarna hitam berkilat pada bampar hadapan dan belakang, rim aloi bersaiz 20 inci, angkup brek berwarna merah dan suspensi udara sport adaptif. 

Ruang kabin yang dimonopoli oleh warna hitam itu pula tampil moden dengan susun atur Audi virtual cockpit plus.

Ia merangkumi paparan navigasi dan infohibur, skrin sentuh MMI, butang kawalan dengan kemasan hitam berkilat, tempat duduk dibalut kombinasi material kulit mono.pur dan ruang kargo seluas 528 liter.

Kalau berminat, anda sudah boleh membuat tempahan. Harga Q8 e-tron advanced 50 quattro ditawarkan pada harga bermula RM369,000 seunit. Sementara Q8 e-tron s line 55 quattro pula berharga RM456,000 hingga RM466,000 sahaja. 

GALERI

Google ads
Back to top button