Buletin

AUDI RS6 AVANT GT 2025 JAUH LEBIH MANTAP, JANA 621HP, HARGA SEKITAR LEBIH RM600K

Audi baru-baru ini telah mengumumkan kehadiran model terbaru mereka, Audi RS6 Avant GT 2025, model yang dijangka akan menjadi kegemaran para peminat.

Model Audi RS6 Avant GT 2025 menjanjikan pengalaman pemanduan memuaskan termasuk ciri-ciri visual memukau yang pastinya akan menarik perhatian di jalan raya.

Dari segi visual, Audi RS6 Avant GT 2025 menampilkan gril singleframe, elemen gentian karbon yang unik pada bonet dan fender depan, rim 22-inci serta spoiler berkembar pada bahagian belakang.

Bagi penggemar rekaan retro, Audi menawarkan tiga pakej eksklusif yang mengingatkan kepada zaman 80-an.

Antaranya termasuklah Arkona white dengan aksen kelabu-hitam dan merah (hanya untuk pasaran AS), Nardò gray dengan rim berwarna gloss-black, dan Mythos black bersama rim matte black.

Di bahagian dalam, Audi RS6 Avant GT 2025 menampilkan keselesaan kepada pemilik, kemasan kulit hitam dan Alcantara yang dipadankan bersama jahitan merah dan tembaga serta hiasan gentian karbon.

Perincian lain termasuklah kluster instrument digital 12.3-inci, skrin infotainmen 10.1-inci, tempat duduk hadapan yang dipanaskan dan berventilasi, kawalan iklim empat zon, panoramic sunroof serta pengecasan telefon tanpa wayar.

Selain itu, setiap Audi RS6 Avant GT 2025 didatangkan standard dengan kerusi bucket RS yang dibalut bersama upholsteri kulit dan Dinamica.

Secara mekanikal, model ini dikuasakan oleh enjin TFSI 4.0-liter bi-turbo V8, berupaya menghamburkan kuasa 621hp dan 850Nm.

Bagi daya pecutan, pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 3.3 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas berbanding RS6 Avant Performance.

Nadi berkenaan dipadankan bersama transmisi lapan kelajuan dan sistem AWD Quattro turut disertakan dalam Audi RS6 Avant GT 2025.

Terhad 660 unit, Audi RS6 Avant GT 2025 dijangka diberikan tanda harga sekitar AS$127,000 (RM604,456) hingga AS$170,000 (RM809,115).

Google ads
Back to top button