Buletin

AUTOSHOW, SUKANEKA, MERIAHKAN BOOM FESTIVAL 2023 – KEHADIRAN LEBIH 120,000 PENGUNJUNG

Pertubuhan Penggerak Alam (PEPA) telah menganjurkan BOOM Festival 2023 yang berjaya mencatat jumlah kehadiran lebih 120,000 pengunjung di Dataran Karnival Stadium Shah Alam pada 3 hingga Februari lalu.

Antara acara menjadi tumpuan utama pada hari sabtu ialah Myvi Nation 2023 Vol.1 yang menghimpunkan lebih 1,000 pemilik Perodua Myvi daripada tiga generasi. Pada hari tersebut, turut diadakan aktiviti pertunjukan Splitfire dan Lightshow, sukaneka, cabutan bertuah serta pertandingan kereta terbaik (autoshow).

Autoshow dibahagikan kepada beberapa kategori seperti Standard Modified, Modified, Open VIP, Sirion Standard dan Modified. Manakala pertandingan audio Open Woofer PA dinilai oleh juri dari segi warna, tapak enjin, pelekat kereta serta ruang dalaman terbaik.

Presiden Kelab Myvi Generasi Ketiga (MG3C) dan Koordinator Myvi Nation Day 2023, Mohd Affan Mohd Aris berkata acara ini diadakan untuk mengumpulkan semua pemilik Myvi daripada generasi pertama, kedua dan ketiga.

“Ia bagi merapatkan hubungan persahabatan sesama pemilik Perodua Myvi tanpa mengira generasi lama ataupun baharu.

“Kehadiran serta sokongan sangat hebat malah ada yang datang dari Utara, Pantai Timur dan Selatan bagi memeriahkan acara ini,” katanya.

Pada hari Ahad pula, tumpuan terarah pada acara Mini Super KCar Megagath iaitu kereta kompak dengan aksesori Pasaran Domestik Jepun (JDM) yang diadakan oleh Persatuan Kereta Kompak Malaysia.

Lebih 800 pemilik daripada pelbagai model seperti Perodua Kancil, Kenari, Myvi, Alza, Axia, Kbox, Viva dan Ativa mengambil bahagian dalam acara tersebut. Antara kategori yang dipertandingkan ialah  Kancil Mira, Kenari Move, Kelisa Gino TR Coure, MYVI Passo, Alza Sette Luminas, Azia Agya Alya, Kbox Open Kcar, Ativa Raize Rocky, Viva Avy dan Sirion.

Hari terakhir, giliran peminat Motosikal Retromania untuk menghimpunkan peminat motosikal era 80-an dan 90-an. Motosikal-motosikal seperti Honda C70, Fame, Yamaha RD125, RS, Pasola, Aprilia 125 RS, Kawasaki K1, Suzuki Katana serta beberapa lagi model nyata menarik perhatian pengunjung.

BOOM Festival 2023 tidak hanya tertumpu kepada aktiviti permotoran semata-mata. Pada Jumaat, ia diisi dengan program kerohanian seperti tahlil, doa selamat serta selawat yang diiringi marhaban.

Kawasan acara turut dimeriahkan dengan aktiviti jualan produk ‘bundle’, peralatan permotoran, aktiviti untuk kanak-kanak serta gerai makanan, selain kehadiran selebriti seperti LOKO, pempengaruh media sosial Dak Ajim dan Dak Ayam.

Google ads
Back to top button