BAHAN API SEMAKIN MAHAL, JUALAN EV MENINGKAT DI THAILAND
Kenaikan harga bahan api di Thailand menyaksikan peningkatan jualan dalam segmen kenderaan elektrik (EV) di negara itu.
Lapor Arab News, pihak penganjur Pameran Motor Antarabangsa Bangkok mendedahkan perkara itu sebelum mengakhiri acara itu semalam.
Ketua Pegawai Operasi Grand Prix International, Anothai Eamlumnao berkata, lebih sejuta orang mengunjungi pameran berkenaan.
Katanya, terdapat peningkatan sebanyak 20 peratus dalam tempahan EV di pameran tersebut berbanding tahun lalu.
Jelasnya, ramai penduduk Thailand kini beralih kepada EV berikutan perubahan global dan kenaikan harga bahan api.
“Secara keseluruhannya, EV adalah trend yang agak besar. Sebelum pameran motor dianjurkan, kerajaan mengumumkan beberapa langkah untuk mengurangkan cukai bagi kenderaan elektrik mampu milik.
“Harga petrol semakin mahal dan trend global kini berubah kepada kenderaan elektrik,” katanya.
Kerajaan Thailand mula mengumumkan subsidi untuk beberapa EV pada awal tahun ini.
Langkah itu dibuat ketika penduduk Thailand berdepan harga bahan api yang melambung tinggi, dengan kerajaan melindungi golongan berpendapatan rendah dengan membekukan harga runcit diesel pada 22 Mac lalu. – UTUSAN
- BACA: WULING MINI EV GAME BOY EDITION. NAK PIKAT GOLONGAN MUDA, HARGA BERMULA RM27,000
- BACA: SANGGUP DAYUNG BOT GETAH 2,000KM DARI THAILAND KE INDIA UNTUK JUMPA ISTERI
- BACA: MASIH UNDUR KERETA DI LORONG RFID? LEMAH… THAILAND DAH GUNA TOL TANPA PALANG M-FLOW
- BACA: PROTON EDAR DILANTIK SEBAGAI PENGIMPORT/PENGEDAR MODEL SMART DI MALAYSIA DAN THAILAND