" "
Buletin

MODEL KLASIK HONDA DAX KEMBALI, PGM-F1, BREK CAKERA DAN ADA ABS!

Honda mempunyai banyak buah motosikal klasik dan ikonik sebagai contoh Honda ST atau lebih dikenali dengan nama Honda Dax.

Menariknya, nama Dax merujuk kepada Dachsund iaitu anjing berkaki pendek. Dengan badan rendah dan tayar kecil, Honda Dax nampak seperti anjing tersebut.

Dax pertama kali dikeluarkan pada tahun 1969 dan kini kembali ke pasaran setelah diperkenalkan di Jepun pada 24 Mac 2022.

Honda Dax 2022 tampil dengan gayaan klasik dan sekali pandang tidak jauh beza berbanding model 1969.

Rangka masih mengekalkan bentuk T dan walaupun kecil, Dax dengan pelana panjang boleh dinaiki dua orang.

Dari segi dimensi, ukuran panjang Dax ialah 1,760 mm, lebar 760 mm dan tinggi 1,020 mm. Tinggi pelana 775 mm manakala jarak kelegaan bumi ialah 180 mm. 

Tangki minyak dan penapis udara dipasang pada rangka di bawah pelana. Satu lagi ciri klasik ialah komponen krom di mana-mana dan diteruskan pada Dax 2022.

Lingkaran ekzos juga mengambil konsep sama seperti model klasik. 

Menggerakkan Dax 2022 ialah enjin JB04E OHC silinder tunggal bersesaran 123 cc dengan suntikan bahan api elektronik PGM-FI. Kapasiti tangki minyak ialah 3.8 liter.

Enjin sejukan udara itu dipadan bersama transmisi empat kelajuan dan dari segi output mempunyai kuasa 9.4 ps pada 7,000 rpm dan tork 11 Nm pada 5,000 rpm.

Model 2022 tidak lagi menggunakan brek gelendung dan selari dengan motosikal Honda lain, Dax dipasang brek cakera depan dan belakang.

Selain itu, Dax juga dilengkapi brek depan dengan ABS untuk tunggangan lebih selamat dan meyakinkan.

Memberikan gaya moden dan retro ialah lampu bulat ala model klasik dengan nyalaan LED. 

Ada dua warna ditawarkan iaitu Pearl Nebula Red yang turut mengimbas model klasik selain Pearl Cadet Gray.

Honda mensasarkan untuk menjual 8,000 unit Dax setahun di Jepun dan harga yang disyorkan ialah 440,000 yen atau bersamaan RM15,132.

Honda Dax 2022 dipasang di kilang Honda di Thailand.

BACA: HONDA BUKA FASILITI TEROWONG ANGIN PALING CANGGIH DI DUNIA

BACA: SEGALANYA TENTANG HONDA HR-V 2022. BILA NAK LANCAR?

BACA: HONDA CRF-E2 – DIRT BIKE ELEKTRIK MESRA KANAK-KANAK

Google ads
Back to top button