Buletin

BARU 1O MINIT LULUS UJIAN MEMANDU, KERETA DAH MASUK SUNGAI

Kegembiraan mendapat lesen memandu nampaknya tidak lama buat seorang lelaki apabila kereta yang dipandunya terjunam ke dalam sungai. 

Dikenali sebagai Zhang, dia sebenarnya baru 10 minit lulus ujian memandu. Zhang dikatakan sibuk membaca mesej daripada kawan-kawan yang mengucapkan tahniah kepadanya. Leka melihat skrin telefon, tanpa sedar dia membelok masuk ke sebuah jambatan kecil di Laoping, wilayah Guizhou.

Lebih memburukkan keadaan, dia tiba-tiba menggelabah apabila melihat dua orang pejalan kaki berada di atas jambatan sama. Zhang kemudian membelok ke sebelah kiri jambatan dan menyebabkan kereta berwarna putih yang dipandunya terus terjun ke dalam sungai.

Mujurlah kereta itu terapung buat seketika sebelum tenggelam sepenuhnya. Zhang berjaya menyelamatkan diri dengan menendang pintu sebelah penumpang. Insiden yang memalukan itu turut menyebabkan bahunya teralih. 

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian membantu Zhang naik dari sungai dan memberinya baju kering. Pihak berkuasa kemudian dilihat berjaya mengeluarkan kereta tersebut dari sungai. 

Tidak dapat dipastikan sama ada Zhang akan didenda di atas kecuaian itu atau sebaliknya. 

Di China, pemandu yang didapati bersalah menggunakan telefon ketika memandu boleh dikenakan denda sebanyak 200 yuan (RM120) dan dua mata lesen memandu mereka dipotong. 

Google ads
Back to top button