
BATERI BAHARU BYD BOLEH CAS SECEPAT ISI MINYAK? 10 KE 70 PERATUS CUMA 5 MINIT!
BYD dilaporkan sedang memperkenalkan teknologi bateri generasi baharu yang berpotensi mengubah pengalaman pemilikan kenderaan elektrik (EV).
Melalui bateri Blade generasi kedua bersama sistem flash charging, syarikat itu menyasarkan proses pengecasan yang hampir sepantas mengisi minyak kereta konvensional.
Menurut syarikat tersebut, teknologi baharu ini mampu mengecas bateri kenderaan daripada 10 peratus ke 70 peratus dalam tempoh sekitar lima minit sahaja.
Lebih mengagumkan, tahap pengecasan boleh meningkat daripada 10 peratus ke 97 peratus dalam kira-kira sembilan minit.

Jika dakwaan ini tepat, ia bakal menjadi antara kadar pengecasan terpantas untuk kenderaan elektrik produksi massa di dunia.
Prestasi pengecasan itu juga dikatakan masih kekal pantas walaupun dalam suhu yang sangat rendah. Dalam keadaan sekitar -30°C, kenderaan masih boleh dicas daripada 20 peratus ke 97 peratus dalam masa kira-kira 12 minit.
Walaupun maklumat terperinci masih belum didedahkan sepenuhnya, bateri generasi baharu ini dipercayai mampu memberikan jarak pemanduan sehingga sekitar 1,036 kilometer bagi satu cas penuh, bergantung kepada model kenderaan yang menggunakannya.
Sementara itu, sistem flash charger yang dibangunkan BYD mempunyai kapasiti sehingga 1,500kW, jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan pengecas pantas sedia ada, bawah 500kW.
Bagi menyokong teknologi tersebut, BYD merancang untuk memasang kira-kira 20,000 unit pengecas flash di seluruh China menjelang hujung tahun ini. Ketika ini, lebih 4,000 unit sudah pun dipasang dan beroperasi.
Selain kelajuan pengecasan, BYD turut menekankan aspek ketahanan bateri. Bateri baharu ini dikatakan mampu mengekalkan sekurang-kurangnya 87.5% kapasiti selepas dua tahun atau 50,000km penggunaan.
Selepas enam tahun atau 150,000 km, kapasiti dijangka masih berada pada 77.5%, manakala selepas lapan tahun, bateri dijangka mengekalkan sekitar 72.5% kapasiti.
Kadar pengekalan kapasiti ini juga dilaporkan meningkat sekitar 2.5% pada setiap peringkat berbanding bateri Blade generasi pertama.
Jika teknologi ini benar-benar direalisasikan dalam model produksi, ia boleh menjadi salah satu langkah besar dalam menjadikan kenderaan elektrik lebih praktikal untuk penggunaan harian.
- BACA: HONDA e:N2 DILANCARKAN DI THAILAND TAK LAMA LAGI – JARAK GERAK 530KM, HARGA SEKITAR RM180K
- BACA: PIRELLI PERKENALKAN CINTURATO ROSSO DENGAN TEKNOLOGI SEAL INSIDE, SAIZ 16 HINGGA 23-INCI
- BACA: PROJEK RM10 JUTA MFORCE LAHIRKAN ‘SKUCHAI’ – GABUNGAN SKUTER, KAPCAI DAN CVT
- BACA: JPJ MELAKA SITA KENDERAAN MEWAH GUNA PLAT ‘SATU DIGIT’ MOTOSIKAL KAPCAI







