
JPJ MELAKA SITA KENDERAAN MEWAH GUNA PLAT ‘SATU DIGIT’ MOTOSIKAL KAPCAI
Padah ‘melaram’ nombor pendaftaran satu digit milik motosikal kapcai, sebuah kereta mewah BMW milik lelaki orang kenamaan (VVIP) akhirnya disita serta-merta oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam operasi penguatkuasaan, Sabtu lalu.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor tunggal yang sah didaftarkan atas sebuah motosikal Modenas Kriss.
Menurutnya, nombor pendaftaran itu baharu dibeli, namun pemiliknya tidak membuat proses pertukaran terlebih dahulu sebelum memasangnya pada kereta berkenaan.
“Semakan mendapati nombor itu berdaftar pada motosikal dan sepatutnya pemilik perlu membuat proses pertukaran atau ‘interchange’ sebelum dipasang pada kereta.

“Bagaimanapun, dia terus memasangnya pada kenderaan berkenaan tanpa kelulusan,” katanya.
Beliau berkata, kereta milik lelaki bergelar ‘Datuk’ itu antara dua BMW yang disita dalam operasi di Jalan Solok Bukit Katil, di sini, bagi siasatan lanjut mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati kereta mewah itu belum didaftarkan secara sah dan dipercayai baru dibeli kerana masih dalam keadaan seperti baharu keluar dari premis jualan.
“Pemilik BMW terbabit dipercayai bertindak begitu dengan andaian kenderaan mewah tidak akan diperiksa pihak berkuasa.
“Namun, tiada sesiapa kebal daripada tindakan undang-undang dan JPJ akan terus mempergiat operasi bagi memastikan semua kenderaan di jalan raya mematuhi peraturan demi keselamatan pengguna,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 60 kenderaan diperiksa menerusi operasi berkenaan dan sebuah lagi BMW disita atas kesalahan cukai jalan dan insurans tamat tempoh. – Berita Harian
- BACA: HONDA INSIGHT KEMBALI – KINI BERUBAH JADI CROSSOVER ELEKTRIK SEPENUHNYA
- BACA: SUV UNTUK ORANG MATANG! PEUGEOT 3008 DENGAN RUPA BAHARU CUMA RM138K – JIMAT RM31K!
- BACA: HONDA HENTI PENGELUARAN CITY HATCHBACK DI INDONESIA, JUALAN BAKI STOK SAHAJA
- BACA: JAECOO J5 RASMI DILANCARKAN -HARGA BERMULA RM108K



