Motosikal

PROJEK RM10 JUTA MFORCE LAHIRKAN ‘SKUCHAI’ – GABUNGAN SKUTER, KAPCAI DAN CVT

MForce Bike Holdings Sdn Bhd mengumumkan pembangunan motosikal 200cc serba baharu yang dilabel sebagai “Skuchai”. 

Skuchai atau skuter kapcai merupakan definisi tepat bagi model serba baharu ini ekoran menggabungkan teknologi skuter dan kapcai. Ini kerana meskipun rupa bentuk jelas sebuah skuter namun motosikal ini menggabugnkan enjin kapcai dengan trasmisi CVT. 

Menurut MForce, projek yang dalam peringkat pembangunan itu menggabungkan tiga elemen dalam satu, reka bentuk skuter, enjin kapcai dan trasmisi CVT sekaligus mewujudkan segmen baharu yang tidak pernah lagi ditawarkan di pasaran global. 

Menariknya, MForce terlibat secara langsung dalam pembangunan ‘skuchai’ ini dengan pelaburan sebanyak RM10 juta melibatkan R&D (pembangunan dan penyelidikan), kejuruteraan reka bentuk, ujian ketahanan, pembangunan prototaip dan penyesuaian teknikal bagi memastikan motosikal ini mencapai standard Malaysia dan pasaran antarabangsa. 

Melihat kepada gambar rasmi yang dikongsikan, MForce telah menjalinkan kerjasama bersama pihak LETEN Power di China. Untuk rekod, MForce turut akan melancarkan motosikal LETEN di Malaysia menerusi LT 190.

Difahamkan, projek terbaru ini bukan sahaja membuktikan komitmen MForce dalam pembangunan motosikal yang bersesuaian untuk kegunaan ramai malah turut memperkuat nama MForce Group dalam kejuruteraan motosikal. 

Menurut COO MForce, Asri Ahmad, ‘Skuchai’ ini sedang dalam peringkat pra-produksi bagi ujian ketahanan menyeluruh. 

Lebih menarik, MForce bakal mempamerkan ‘Skuchai’ di Malaysia Bike Show 2026 yang akan berlangsung pada Mei  sementara pelancaran rasmi akan berlaku pada suku pertama 2027. 

Google ads
Back to top button