
BEKAS PEKERJA TESLA LANCAR BOT ELEKTRIK 800 HP
Syarikat Blue Innovations Group (BIG) yang ditubuhkan oleh seorang bekas pekerja Tesla, John Vo melancarkan sebuah bot elektrik R30.
Bot elektrik tersebut menggunakan struktur binaan badan daripada bahan aluminium, dan pek bateri berkapasiti 221 kWh yang dimuatkan di dalam kerangka bot itu sendiri.
Untuk bergerak, ia menggunakan khidmat sepasang motor elektrik yang mampu menjana kuasa setinggi 800 hp.

Rekaan R30 ini menampilkan bumbung kanopi kekal, panel solar 2.7 kW yang boleh dikeluarkan untuk bertindak sebagai bumbung tambahan, ruang memasak kecil di bahagian belakang, tempat makan, serta katil yang diletakkan di depan kokpit.
Pembangunan R30 ini memang diinspirasikan daripada model kereta Tesla, seperti kehadiran skrin berkembar pada papan pemuka.
Prototaip bot elektrik ini bakal dipamerkan pada acara CES di Las Vegas sebelum proses pembangunan model alfa dan beta diteruskan.

Dengan harga jualan minimum bermula dari $300,000 (RM1.32 juta), bot elektrik R30 ini dijangka akan mula dihantar pada suku kedua tahun 2024. – Electrek








