
BENGANG TAK DAPAT BONUS, PEKERJA KILANG GM KOREA SERANG BILIK CEO
Sekumpulan pekerja kilang GM Korea merempuh masuk ke pejabat eksekutif, sebelum bertindak merosakkan pejabat Ketua Pegawai Eksekutifnya.
Kekecohan itu berlaku tidak lama selepas syarikat mengumumkan ia tidak akan memberi bonus berikutan krisis tunai yang dialaminya.
Bloomberg melaporkan beberapa orang pekerja yang marah memasuki pejabat Ketua Pegawai Eksekutif GM Korea, Kaher Kazem.
Satu klip video yang dimuat naik ke laman YouTube jelas menunjukkan sekumpulan pekerja lelaki meluru masuk ke dalam bilik Kazem sebelum menolak dan menghempas beberapa buah kerusi ke lantai.
Bukan itu sahaja, mereka menendang pasu bunga dan mengeluarkan sekurang-kurangnya dua unit almari dari bilik tersebut. Komputer milik Kazem juga dirosakkan.
Klip video berdurasi satu minit itu telah ditonton sebanyak 207,391 kali setakat ini. GM Korea menyifatkannya sebagai satu “insiden ganas” yang merosakkan harta benda syarikat.
GM Korea membuat laporan polis dan berjanji akan mengenakan tindakan tegas ke atas individu yang terlibat.
Selain tidak diberi bonus, pekerja GM Korea nampaknya terus dirundung nasib malang. Tahun lalu, timbul khabar angin GM mungkin akan menutup operasinya di Korea.
Pada Februari, pengeluar kenderaan tersebut mengumumkan satu pelan penstrukturan semula yang bakal menyaksikan kilang Gunsan ditutup menjelang Mei depan.
Pada masa sekarang, kilang Gunsan hanya beroperasi sebanyak 20 peratus sejak tiga tahun lalu. GM Korea mengalami kerugian bertahun-tahun lamanya dan ia sudah mengemukakan cadangan pakej pelaburan berjumlah AS$2.8 bilion (RM10.8 bilion) serta penukaran hutang kepada ekuiti bernilai AS$2.7 bilion (RM10.4 bilion) untuk kekal bernafas.
GM Korea juga mengugut akan menfailkan notis bankrap sekiranya kesatuan kerja enggan bersetuju atas pelan potongan gaji dan penstrukturan semula sebagaimana yang dicadangkan.